January 31, 2013

Tidak sangka anak sendiri

Mariani menenteramkan anaknya yang terbaring menahan kesakitan.

SUBANG JAYA – “Melihat orang ramai berkerumun di tepi persimpangan lampu isyarat menyebabkan saya terdetik membuat pusingan U ke tempat itu, memang tidak sangka pelajar dilanggar sebuah motosikal itu adalah anak saya sendiri," kata Mariani Jantan, 46.

Menurutnya, ketika kejadian dia baru sahaja menghantar anak perempuannya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ23 yang terletak berhampiran.

Dalam perjalanan balik, dia memberitahu terserempak dengan orang ramai berkumpul di Persiaran Harmoni berdekatan sebuah stesen minyak seolah-olah melihat kejadian kemalangan.

Berasa tidak sedap hati, Mariani berkata, dia yang menunggang motosikal membuat pusingan U dan menuju ke arah orang ramai itu.

Tanpa diduganya, mangsa kemalangan yang dilanggar itu adalah anak lelakinya sendiri, Mohd Syariful Azwa Haslan, 15, yang terbaring menahan kesakitan.

“Saya baru sahaja hantar anak ke sekolah, tidak sangka dalam perjalanan balik ke rumah terletak di Kampung Tengah berselisih dengan anak yang terbabit kemalangan.

“Anak saya cedera di muka dan kepala. Dia dihantar ke Hospital Serdang oleh ambulans yang tiba beberapa minit selepas itu,” katanya.

Sementara itu, desakan penduduk supaya sebuah jejantas dibina di laluan itu sebelum ini ada asasnya berikutan kerap berlaku tragedi di laluan itu.

Penduduk, Muhammad Noor, 47, berkata, bukan sekali, dua atau tiga kali tetapi lebih empat kali dia melihat kejadian kemalangan membabitkan pelajar berlaku di situ.

Menurutnya, apabila perkara itu dikemukakan kepada pihak bertanggungjawab, jawapan diterima adalah tiada peruntukan untuk membina jejantas di situ.

Apa dikesalinya, pihak itu tidak meningkatkan ciri keselamatan bagi memudahkan pelajar dari beberapa kampung berhampiran melintas jalan besar untuk ke sekolah di USJ 23.

Jelasnya, kenderaan datang dari arah Puchong sering dipandu laju menyebabkan kadangkala ada yang tidak sempat memperlahankan kereta apabila menyedari pelajar melintas.

“Saya desak pihak bertanggungjawab lakukan sesuatu dan tidak biar pelajar terus berisiko serta menggadaikan nyawa mereka untuk pergi dan pulang ke sekolah.

“Mungkin jika tiada peruntukan bina jejantas, tindakan lain boleh dilakukan supaya tidak ramai lagi menjadi mangsa di sini,” katanya.

Sinar Harian 31 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment