January 31, 2013

Ajal lepas urut badan

Polis dibantu penduduk kampung mengangkat mayat Ngah sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut bagi mengesahkan punca kematian.

DUNGUN – “Dia kerap menyebut soal mati dalam sehari dua ni, tak sangka pula dia benar-benar mahu pergi,” kata Che Kah Mohd Yatim, 65, balu kepada arwah Ngah Muhammad, seorang nelayan yang menemui ajal selepas berurut dekat sini.

Kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari berlaku ketika mangsa mahu pulang ke rumah selepas berurut dengan Zakaria Jusoh, 71, berdekatan sebuah resort.

Che Kah berkata, sebelum itu, dia bersama arwah suaminya ke bandar Dungun untuk membeli baja tanaman sebelum singgah di rumah saudaranya dekat Seberang Pintasan.

Menurutnya, selepas itu arwah mengajaknya ke rumah tukang urut yang lebih dikenali sebagai Pok Ya.

“Semasa ingin pulang dan ketika hendak menghidupkan enjin, tiba-tiba dia rebah.

“Saya kemudiannya meminta bantuan Pok Ya, kerana melihat dia dalam keadaan tidak bermaya,” katanya kepada Sinar Harian.

Pok Ya yang terkejut dengan kejadian itu berkata, arwah sebelum ini menghidap strok dan sedang menjalani proses pemulihan melalui kaedah urutan tradisional yang diusahakannya.

“Ketika sedang mengurut, dia sempat berseloroh dengan saya, katanya nak beli harimau mainan nak letak dalam kebunnya.

“Tak sangka pula selepas dia masuk kereta, tiba-tiba dia tidak bermaya lalu menemui ajal sebelum sempat pulang ke rumahnya di Merchang,” katanya.

Arwah sebelum ini difahamkan turut menghidap asma dan beberapa kali dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Mayat Ngah kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian itu dan kes masih dalam siasatan pihak polis.

Sinar Harian 31 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment