January 31, 2013

Rayu Norfara pulang

Samsudin menunjukkan gambar Norfara yang menghilangkan diri sejak Disember tahun lalu. Gambar kecil: Norfara

BALING - Seorang bapa merayu agar anak perempuannya pulang ke pangkuan keluarga setelah dia menghilangkan diri sejak 3 Disember tahun lalu.

Samsudin Mohd Daud, 40, dari Kampung Bendang Man berharap anaknya, Norfara Izati, 17, pulang berikutan terlalu rindu dengan anak sulungnya itu, selain gadis itu juga bakal menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Menurutnya, dia tidak mengetahui punca anaknya itu keluar dari rumah, sedangkan tiada sebarang perselisihan faham berlaku sebelum ini.

“Saya dan keluarga tidak pernah bergaduh dengan dia (Norfara) sebelum ini. Hubungan dengan dua adiknya yang lain juga baik.

“Disebabkan itu, saya bingung setiap kali memikirkan mengenai tindakannya itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, Norfara hanya memaklumkan ingin ke rumah rakannya di Kulim selama tiga hari sempena cuti persekolahan.

“Namun, Norfara tidak pulang pada hari sepatutnya. Saya cuba menghubunginya tetapi gagal. Saya yakin, dia telah menukar nombor baru,” katanya.

Samsudin yang bekerja kampung itu bimbang sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini kepada anaknya.

“Pelbagai usaha saya gunakan termasuk menyebarkan risalah tetapi tiada sebarang respons sehingga kini. Ibunya, Siti Zubaidah Syukur, sering menangis setiap kali mengingati Norfara,” katanya.

Menurutnya, dia amat berharap sesiapa yang pernah terlihat Norfara dapat menghubunginya secepat mungkin di talian 019-5231370 ataupun isterinya di talian 019-4315433.

Norfara mempunyai ketinggian kira-kira 150 meter, bertubuh kecil dan berkulit cerah.

Sebelum ini, Sinar Harian turut pernah melaporkan kisah seorang pelajar tingkatan enam dari Kampung Ubi Jalan Felcra Weng yang bertindak keluar rumah selepas berlaku perselisihan faham dengan adiknya.

Sinar Harian 31 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment