January 31, 2013

Mayat rentung dalam kereta

Orang ramai datang ke tempat kejadian untuk melihat kereta yang terbakar, malam kelmarin.

KLUANG - Polis menemui mayat rentung dalam sebuah kenderaan yang terbakar di kawasan jalan masuk ke ladang kira-kira 100 meter dari jalan utama Jalan Mengkibol-Simpang Renggam, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, kejadian tersebut disedari kira-kira jam 7.30 malam,  hasil maklumat orang awam yang melihat sebuah kenderaan terbakar dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kluang telah bergegas ke tempat kejadian.

“Selepas kebakaran berjaya dipadamkan, polis menemui satu mayat yang dipercayai lelaki berusia dalam lingkungan 60-an ditemui rentung di bahagian tempat duduk pemandu.

“Hasil siasatan awal, polis mendapati kejadian tersebut tidak mempunyai unsur jenayah dan dikategorikan sebagai mati mengejut.

“Namun, polis akan melakukan pemeriksaan DNA berikutan mayat tersebut sudah 100 peratus terbakar, menyukarkan pihak kami untuk mengenal pasti bangsa mayat tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Abdul Majid berkata, siasatan akan dijalankan Unit Forensik Polis dan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat, bagi mengetahui punca kejadian sebenar.

“Bagaimanapun, bedah siasat akan dijalankan hari ini (Khamis) di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, Kluang bagi mengetahui punca sebenar dan sekiranya mempunyai unsur jenayah maka polis akan menyiasatnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Akub Sedek berkata, pihaknya mengambil masa hampir 10 minit untuk memadamkan kebakaran tersebut.

“Seramai lapan anggota Bomba dan Penyelamat ditugaskan dan telah diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan 2, Rahman Mat Zin bagi memadamkan kebakaran tersebut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sinar Harian 31 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment