January 31, 2013

Tindakan pantas bapa selamatkan isteri, anak

Hassan (kiri) menemani Jasmin (tengah) melihat rumah adiknya yang hangus terbakar di Kampung Paya semalam.

SUNGAI DUA - Terjaga daripada tidur selepas tercium bau plastik terbakar telah menyelamatkan nyawa keluarga seorang warga emas dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Paya di sini malam kelmarin.

Hassan Hussin, 63, berkata, bagaimanapun kebakaran pada jam 10.30 malam yang bermula dari rumah adiknya, Salleh Hussin, 59, yang terletak bersebelahan rumahnya turut menyebabkan dia mengalami kerugian lebih RM20,000 apabila bahagian tepi dinding rumahnya musnah.

Dia yang merupakan pesara Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berkata, sekitar jam 9.30 malam kelmarin dia bersama isteri,Saripah Abdul Rahman, 59, dan anak bongsu mereka, Aniza, 24, terhidu benda terbakar.

“Ketika itu kami tiga beranak sedang berbual di luar rumah apabila terhidu plastik terbakar.

“Kami kemudiannya berusaha mencarinya sehingga ke rumah Salleh yang dijadikan stor menyimpan peralatan perniagaan pengantin yang terletak bersebelahan namun tidak menjumpai apa-apa,” katanya.

Menurutnya, sekitar jam 10.30 malam selepas baru setengah jam melelapkan mata, bau plastik terbakar itu semakin kuat membuatkan dia mengejutkan isteri dan anak untuk sekali lagi mencari punca bau itu.

“Sebaik keluar, saya dapati api menjulang tinggi di bahagian atas rumah adik yang tak berpenghuni itu sebelum merebak membakar dinding rumah saya kemudiannya.

“Saya kemudian bertindak pantas membawa isteri dan anak keluar dari rumah kami dan menjerit meminta pertolongan jiran,” katanya.

Menurutnya, penduduk kampung cuba membantu memadamkan api tetapi gagal sebelum ketibaan pihak bomba kemudiannya yang berjaya mengawal api dari turut membakar rumahnya.

Sementara itu Pegawai Operasi Bomba, Balai Bomba Kepala Batas, Pegawai Bomba Kanan 2,Abdul Aziz Ismail berkata, pihaknya mengalami sedikit kesukaran dalam operasi memadam api rumah adik Hassan kerana punca air terletak agak jauh.

“Bagaimanapun dengan tindakan pantas pasukan bomba sukarela dari Kepala Batas, Kuala Muda dan penduduk kampung kami berjaya mengawal api dari turut membakar rumah Hassan walaupun rumah adiknya musnah dalam kejadian itu.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat kerana selain rumah itu hangus pelbagai barangan perniagaan yang disimpan di dalamnya turut musnah terbakar,” katanya.

Kejadian malang itu mendapat simpati segera dari Adun Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamad yang segera turun padang bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) pejabat Kepala Batas menghulurkan bantuan segera.

Sinar Harian 31 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment