January 31, 2013

Mahkamah tolak rayuan dua lelaki sebabkan kematian suami isteri



KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan di sini kelmarin mengekalkan hukuman penjara ke atas dua lelaki tempatan atas kesalahan menyebabkan kematian.

Panel Hakim Mahkamah Rayuan terdiri Datuk Lim Yee Lan, Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Rohana Yusof, membuat keputusan itu terhadap Mohd Hardy Poniman dan Janat Tugis, selepas menolak rayuan kedua-dua perayu.

Terdahulu, Hardy dan Janat yang tidak diwakili peguam, merayu terhadap hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi. Hardy dipenjara 12 tahun manakala Janat dipenjara 16 tahun bagi setiap kesalahan.

Kedua-dua hukuman itu berjalan secara berasingan.

Kedua-duanya mengaku bersalah menyebabkan kematian Lee Chee Chiong @ Li Chi Chong, 80, dan Moliah Gamul, 41, di sebuah rumah di Jalan Tuaran, Kota Kinabalu pada pada 9 Julai 2002 jam 5.00 pagi.

Hardy dalam rayuannya berkata, sepanjang berada di dalam penjara beliau amat menyesali perbuatannya selain kini kenal erti kehidupan.

Dia juga meminta agar hukumannya dikurangkan kerana beliau datang dari keluarga yang miskin dan perlu membantu keluarga memandangkan beliau anak yang sulung.

Sementara Janat merayu agar hukumannya dikurangkan kerana ibu bapanya telah tua dan perlu membantu keluarga membesarkan adik-beradik. Dia juga telah insaf dengan perbuatannya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Tetralina Ahmed Fauzi yang mengendalikan pendakwaan kes berkenaan berkata, mangsa adalah sepasang suami isteri yang telah dibunuh dengan kejam di rumah mereka sendiri.

“Malah mengikut laporan bedah siasat yang dibuat keadaan kedua-dua mangsa adalah sangat parah dan mengerikan.

“Lee (suami) mengalami pelbagai kecederaan di bahagian badan dan kepala manakala Moliah mendapat 21 kesan kecederaan di bahagian belakang selain dua jarinya putus,” katanya.
Menurutnya, Mahkamah Tinggi dahulu telah menjatuhkan hukuman yang mengambil kira kepentingan awam ke atas kedua tertuduh.

Atas kesalahan itu, Hardy dan Janat didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Utusan Borneo 31 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment