January 31, 2013

Laut merah masih melanda Pantai Barat Sabah


KOTA KINABALU: Fenomena air merah atau ‘red tide’ masih melanda di perairan Pantai Barat Sabah terutamanya kawasan perairan Papar, Putatan, Kuala Penyu, Sepanggar dan Tuaran.

Ketua Cawangan Jaminan Kualiti Jabatan perikanan Sabah, Boniface Jintony berkata orang ramai perlu mengelakkan daripada mengambil makanan laut yang disahkan mempunyai toksin berlebihan seperti kerang, siput dan ikan-ikan kecil.

“Setakat ini, kawasan perairan di Kuala Penyu dan Tuaran menunjukkan kandungan toksin yang agak tinggi dalam kerang-kerangan iaitu masing masing mencatat 4,420 dan 3,836 unit Mouse (MU).

“Keadaan ini dijangka akan berterusan sehingga Mac ini, namun ia adalah bergantung dengan keadaan cuaca,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo kelmarin.

Justeru katanya, orang ramai dinasihat sentiasa mengikuti arahan dan amaran yang diberi pihak berkuasa ekoran fenomena air laut merah terbabit.

“Pihak kita akan sentiasa melakukan pemantauan dan amaran akan dikeluarkan dari semasa ke semasa untuk keselamatan orang ramai,” katanya.

Fenomena laut merah berpunca daripada kehadiran sejenis organisma satu sel yang dinamakan phytoplankton dinoflagellate di dalam air laut.

Mereka yang memakan hidupan laut yang dicemari toksin berkenaan akan mengalami keracunan ‘paralytic shellfish poisoning’ (PSP) dan jika tahap toksin yang tinggi boleh menyebabkan lumpuh atau kematian.

Tahun lalu, kejadian laut merah telah telah mengorbankan dua mangsa berusia 14 dan 9 tahun yang dipercayai memakan kerang yang diperoleh dari kawasan perairan Sepanggar.

Utusan Borneo 31 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment