January 31, 2013

Suami isteri kempunan



KUANTAN- Sepasang suami isteri yang mengusahakan perniagaan kedai runcit terpaksa melupakan untuk menikmati keuntungan hasil penjualan rokok seludup apabila 882 paket rokok pelbagai jenama bernilai RM996.52  dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Rampasan itu dilakukan selepas premis mereka di Jalan Kampung Pelindung Indah, Taman Pelindung Indah di sini diserbu agensi penguat kuasa itu,  9 Julai lalu.

Tidak cukup dengan kerugian itu, pasangan terbabit, Mohd Sukeri Md Keya, 36 dan isterinya, Azizah Sharip, 35 yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam juga terpaksa menjelaskan denda RM11,000 setiap seorang bagi mengelak dikenakan hukuman 18 bulan penjara selepas mengaku bersalah atas tuduhan itu.

Hukuman  dibuat Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah manakala pendakwaan dikemukakan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Mohd Khairuddin Niesha Mohd Shafee.

Mereka yang diwakili peguam, Nur Munirah Mustaffa dituduh menyimpan bahan yang dilarang pengimportannya seperti yang dinyatakan dalam Butiran 1, Jadual Keempat Perintah Kastam 2008 di bawah kaunter pembayaran kedai itu sebelum ditemui pegawai agensi tersebut dalam pemeriksaan yang dijalankan.

Susulan penemuan tersebut, mereka ditahan untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan dan dihadapkan ke mahkamah itu semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Bagi kesalahan itu, mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1)(iii)(aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali dan tidak lebih 20 kali nilai rampasan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Nur Munirah dalam mitigasinya memohon pertimbangan mahkamah supaya mengambil kira faktor pengakuan bersalah pasangan tersebut untuk  hukuman yang lebih ringan.

Menurutnya, pasangan tersebut mempunyai empat anak yang masih kecil berusia dua hingga enam tahun dan bergantung sepenuhnya kepada keuntungan hasil perniagaan mereka sekitar RM2,000 sebulan.

“Mereka juga menyesal atas kesalahan yang dilakukan dan pengakuan bersalah itu membuktikan mereka sudah sedar akan kesilapan yang dilakukan,” katanya.

Bagaimanapun Mohd Khairuddin dalam hujah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan terhadap pasangan tersebut memandangkan aktiviti menjual rokok seludup semakin berleluasa belakangan ini.

“Berdasarkan kajian, kes penjualan rokok seludup ini menunjukkan peningkatan sehingga 62 peratus dan negara kehilangan pendapatan sehingga RM2 bilion,” katanya.

Sinar Harian 31 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment