January 31, 2013

Nelayan keluar memukat dikhuatiri lemas


PUTATAN: Seorang nelayan dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas ketika keluar memukat berhampiran Kuala Putatan, di sini pada Selasa lepas.

Alias Maidin, 60, dari Kampung Tebongon difahamkan hilang setelah bot dinaikinya karam di lokasi berkenaan sekitar jam 10 malam.

Dipercayai, bot dinaiki mangsa terlanggar tunggul kayu yang diletakkan di situ sebagai penanda aras bagi sempadan para nelayan di situ.

Bagaimanapun, hanya bot mangsa telah ditemui kira-kira jam 11 malam pada hari yang sama, namun mangsa belum ditemui.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Penampang, Jamaludin Hussin berkata sepasukan unit skuba telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk operasi mencari sejak 8 pagi Rabu lalu.

Operasi terbabit turut melibatkan pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan beberapa penduduk kampung yang akan disambung pada jam 7 pagi hari ini.

Utusan Borneo 31 Jan 2013



Nelayan hilang di Putatan dijumpai mati

KOTA KINABALU — Mayat seorang nelayan warga emas yang dilapor hilang di Putatan dua hari lepas, ditemui semalam.

Menurut jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika dihubungi, mayat Alias Maidin, 60, ditemui di Pulau Manukan pada kira-kira 4 petang oleh pasukan itu dan dibawa ke jeti polis marin di sini pada kira-kira 6 petang.

Anggota keluarga Alias dihubungi bagi mengenal pasti identiti mangsa sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat.

Alias, dari Kampung Tebongon, dilapor hilang selepas botnya karam ketika memancing di sebuah sungai di Putatan pada kira-kira 10 malam, 30 Jan lepas.

Bot yang dipercayai terlanggar tunggul kayu, dijumpai nelayan lain pada kira-kira 11 malam selepas Alias hilang.

APMM bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Sabah dan polis marin serta penduduk kampung melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa selama tiga hari. — BERNAMA

2 Feb 2013

0 comments:

Post a Comment