January 27, 2013

Hasrat lelaki ingin berjumpa anak terpisah 30 tahun terkubur


Allahyarham Zakaria ketika menerima rawatan penyakit semput di HTAR

SHAH ALAM - Keinginan seorang bapa yang mahu bertemu anaknya yang terpisah sejak lebih 30 tahun lalu tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia sebelum sempat bertemu anaknya itu.

Zakaria Ali, 64, berkeinginan bertemu dengan anaknya yang bernama Azman Zakaria, 40-an, yang terpisah sejak anaknya itu berusia dua tahun selepas dia dan bekas isterinya berpisah.

Bagaimanapun, hasratnya terkubur selepas dia meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) akibat penyakit semput kira-kira jam 11.10 malam kelmarin dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Jawa, di sini.

Anak saudara arwah yang hanya mahu dikenali sebagai Olin, 40-an, berkata bapa saudaranya itu sering keluar masuk hospital sejak beberapa tahun lalu namun dilaporkan kritikal sejak tiga minggu lalu.

Beliau berkata, bapa saudaranya itu kerap menyatakan hasrat untuk bertemu anaknya, Azman yang dipercayai menetap bersama bekas isteri yang dikenali sebagai Maimon Ibrahim di Pulau Pinang sejak berpisah pada 1970-an.

Katanya, sejak berpisah dengan Azman, arwah tidak bertemu anaknya sehinggalah menghembuskan nafas terakhirnya.

Olin berharap sekiranya Azman atau sesiapa yang mengenalinya untuk berhubung dengan saya di talian 017-3035036 bagi menjalinkan semula hubungan kekeluargaan yang lama terpisah bagi memenuhi hasrat arwah.

Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my
myMetro 25 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment