January 28, 2013

Buaya tembaga 300kg ditangkap

SEEKOR buaya tembaga yang berjaya ditangkap menggunakan sangkar khas di Sungai Teruntum berhampiran Jalan Telaga Air, Kuching semalam.

KUCHING - Seekor buaya tembaga sepanjang 5 meter yang dipercayai telah membaham anjing peliharaan seorang tukang kebun di rumah rehat Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng ditangkap di Kampung Selang, Jalan Telaga Air di sini semalam.

Sang bedal seberat hampir 300 kilogram yang mendapat jolokan Bujang Teruntum itu ditangkap selepas pihak Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menjalankan operasi memburu serta memasang sangkar khas sejak seminggu lalu di Sungai Teruntum di sini.

Buaya yang dinamakan sempena sungai yang menjadi habitatnya itu disedari terperangkap selepas memakan umpan ayam yang diletakkan di dalam sangkar sepanjang 5 meter dan lebar kira-kira 1 meter.

Menurut seorang tukang kebun di kediaman itu, Johari Resal, 63, dia meninjau ke tempat sangkar tersebut dipasang kira-kira pukul 7 pagi semalam dan mendapati seekor buaya berada di dalamnya.

"Sangkar itu juga mengalami sedikit kerosakan dipercayai dirempuh oleh buaya tersebut yang cuba melepaskan diri. Di bahagian kepala buaya juga terdapat kesan luka," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kosmo 28 Jan 2013


Buaya terbesar ditangkap di Kampung Selang

BUAYA Selang yang ditangkap di Sungai Teruntum, Kuching kelmarin bukan sahaja menarik perhatian Abang Muhammad Salahuddin (dua dari kiri) malah isterinya, Norkiah memberanikan diri duduk di atas buaya.

KUCHING - Buaya Bujang Teruntum yang ditangkap di Sungai Teruntum berdekatan rumah rehat Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di sini kelmarin adalah seberat 629 kilogram (kg) berbanding anggaran asal 300kg.

Berikutan berat luar biasa itu, Abang Muhammad Salahuddin menukar gelaran reptilia itu kepada Bujang Selang yang mengambil sempena nama kampung tempat buaya itu ditangkap.

Berat buaya tersebut disahkan oleh pegawai Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) yang menimbang reptilia sepanjang lima meter itu setelah ia diangkat oleh sekumpulan 15 lelaki ke atas tebing sungai semalam.

Kerja-kerja menimbang berat buaya itu dilakukan selepas ia dikeluarkan dari sangkar yang memerangkapnya di sungai berkenaan untuk dibawa ke Pusat Perlindungan Hidupan Liar Matang di sini.

Kosmo 29 Jan 2013


Seekor buaya lagi diburu


Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) memburu seekor lagi buaya selepas berjaya menangkap Bujang Selang di Sungai Teruntum, Kampung Selang, Telaga Air, di sini, kelmarin.

Reptilia yang digelar Bujang Selang oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng itu kini ditempatkan di Pusat Hidupan Liar Matang, semalam.

Buaya tembaga jantan yang berukuran hampir lima meter dengan berat 620 kilogram itu dipercayai berusia lebih 80 tahun itu memasuki perangkap khas kira-kira jam 2.30 petang kelmarin dan dibawa ke tebing sungai sebelum dibawa menaiki lori ke Pusat Hidupan Liar, kira-kira lapan kilometer dari kawasan berkenaan.

Jurucakap SFC berkata, pihaknya kini menumpukan usaha memburu seekor lagi buaya dari spesies sama dipercayai berukuran dua kali ganda lebih besar daripada Bujang Selang.

Katanya, mengikut laporan daripada penduduk berhampiran dan siasatan yang dijalankan, ada seekor lagi buaya yang sering muncul di permukaan sungai itu sekali gus menimbulkan kebimbangan orang ramai.

“Buaya yang dipercayai sering muncul di Sungai Teruntum itu mengalami sedikit kecederaan pada mulut ketika cuba melepaskan diri.

“Biarpun sebelum ini hanya ada satu aduan mengenai reptilia itu, kami tidak akan berdiam diri sebaliknya akan mengesan dan menangkapnya bagi mengelakkan ia terus mengganggu penduduk kampung,” katanya ketika ditemui, semalam.

Proses pemindahan Bujang Selang terpaksa menggunakan tenaga 10 lelaki dan mengambil masa hampir tiga jam kerana saiznya yang besar.

Semalam, Harian Metro melaporkan seekor buaya dianggarkan dengan berat kira-kira 600 kilogram selepas reptilia ganas itu membaham anjing pengawal rumah rehat Yang Dipertua Negeri di Telaga Air.

Buaya yang berjaya diperangkap itu adalah daripada spesies ‘crocodylus porosus’ atau buaya air masin yang terkenal sebagai paling ganas.

myMetro 29 Jan 2013



Buaya sepanjang 14 kaki dipindah ke Pusat Hidupan Liar Matang

KUCHING: Buaya sepa­njang 14 kaki dan seberat kira-kira 450 kilogram yang ditangkap menggunakan perangkap khas di Sungai Selang, Rambungan baru-baru ini telah dipindahkan ke Pusat Hidupan Liar Matang.

Kontroler Hidupan Liar SFC Datu Ali Yusof ber­kata baru-baru ini Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) Sarawak Forestry Corporation (SFC) telah melancarkan Tinjauan Populasi Buaya di Seluruh Negeri di semua sungai utama bagi memastikan pengagihan serta populasi buaya di negeri ini.

“Pertambahan jumlah populasi buaya dan manusia telah meningkatkan konflik antara mereka yang bersa­ing menggunakan sungai sama.

“Hasil tinjauan itu akan membantu kami menen­tukan kawasan untuk di­isytihar sebagai Zon Bebas Buaya,” katanya dalam kenyataan akhbarnya se­malam.

Sementara itu dua ekor buaya telah diserahkan kepada SWAT, Sarawak Forestry Corporation di Sarikei minggu lepas.

Buaya sepanjang empat kaki dan enam kaki mas­ing-masing itu sebelum itu disimpan sebagai haiwan peliharaan.

Bagaimanapun pemi­liknya mengambil keputu­san menyerahkannya ke­pada SFC setelah menyedari buaya merupakan haiwan terlindung di bawah Ordi­nan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

Kedua-dua buaya terse­but juga telah ditempatkan di Pusat Hidupan Liar Matang.

“Disebabkan kesedaran berterusan orang ramai tentang usaha memulihara hidupan liar, kami gembira melihat maklum balas posi­tif seperti ini.

“Pada masa sama saya mahu mengingatkan orang ramai bahawa adalah satu kesalahan di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998, jika memiliki haiwan terlindung atau Haiwan Terlindung Sepenuhnya,” ujar Ali yang juga pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif SFC.

Katanya denda maksimum RM10,000 dan penjara satu tahun boleh dikenakan jika seseorang itu didapati mem­buru, membunuh, menyim­pan, menjual atau memakan haiwan-haiwan ini.

Utusan Borneo 30 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment