January 27, 2013

Bayi tidur tertiarap mati tersedak susu

PUTRAJAYA - "Setiap hari pulang dari tempat kerja, saya mencari Damia terlebih dulu dan melayan karenahnya...namun selepas ini, tiada keletahnya lagi di rumah," kata kakitangan swasta, Musmulyadi Markis, 34, bapa Nurdamia Fitriah berusia 6 bulan yang meninggal dunia dipercayai tersedak susu ketika di bawah jagaan taska di Presint 9, di sini, semalam.

Menurutnya, Nurdamia Fitriah sering menjadi tumpuan ahli keluarga terutama tiga anaknya yang lain memandangkan dia paling bongsu di rumah.

"Tiga anak lain yang berusia antara sembilan dan setahun lebih sering melayan karenah Damia sewaktu berada di rumah terutama anak sulung saya.

"Selepas ini, tiada lagi kedengaran keletah Damia di rumah. Saya reda apa yang terjadi kerana sudah ditakdirkan  Damia pergi dulu," katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Putrajaya (HP), di sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, pengasuh Nurdamia mengejutkan mangsa dari tidur beberapa kali, namun ketika itu bayi malang itu tidak sedarkaan diri.

Dipercayai pengasuh mangsa memberikan bantuan pernafasan, tetapi bayi terbabit tidak memberi maklum balas, sebelum dibawa ke Unit Rawatan Kecemasan HP untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, doktor memaklumkan Nurdamia meninggal dunia.

Musmulyadi berkata, dia mengetahui kejadian berkenaan selepas menerima panggilan isterinya, Rahimah Mustapa, 33, yang memintanya segera ke hospital.

Menurutnya, dia turut dimaklumkan seorang rakan ketika kejadian anaknya tidur dalam keadaan tertiarap dan bibirnya sudah berwarna kehitaman.

Katanya, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan pihak pengurusan taska selain tidak berhasrat mengambil tindakan terhadap mereka.

Ketua Polis Daerah Putrjaya AC Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

myMetro 24 Jan  2013

0 comments:

Post a Comment