January 31, 2013

3 tahun tak pulang


KUALA LUMPUR: “Dia pernah bagi tahu, selagi tidak berjaya dia tak akan pulang ke rumah, namun sehingga kini sudah dua tahun kami sekeluarga tidak mendengar khabar berita darinya,” kata seorang warga emas sebak apabila anaknya, Tengku Shah Haisham Tengku Adnin, 24 menghilangkan diri tanpa khabar berita sejak tiga tahun lalu.

Menurut wanita itu, Jamilah Salim, kehilangan Tengku Shah Haisham membuatkan kehidupan sehariannya terganggu apatah lagi tahun ini sudah tiga kali mereka sekeluarga berhari raya tanpa anak kelima dari enam beradik itu.

“Kali terakhir bertemunya pada sekitar Ogos 2007 ketika dia ingin pulang ke Kuala Lumpur untuk mengambil gaji setelah setahun bekerja di sebuah kopitiam di kediaman kami di Taman Pulai Perdana, Johor Bahru. Katanya, dia akan pulang semula berhari raya pada tahun itu, tetapi tidak muncul dan saya menyangka dia sibuk bekerja.


 “Saya pernah menghubunginya melalui telefon dan diberitahu dia bekerja di sebuah kilang di Shah Alam. Dengan nada bergurau dia memberitahu selagi tidak berjaya dia tidak akan pulang ke rumah, namun tidak menyangka dia benar-benar melakukannya,” kata warga emas itu ketika ditemui di Balai Berita NSTP, semalam.

Menurut Jamilah, dalam tempoh dua tahun dia cuba memahami keadaan anaknya yang dipercayai sibuk bekerja, namun perasaan makin bimbang apabila telefon bimbit anaknya itu tidak dapat dihubungi lagi.

“Kali terakhir menelefonnya, panggilan itu dijawab oleh seorang wanita yang mendakwa talian itu adalah miliknya. Saya merayu padanya pulanglah ke rumah menjenguk kami sekeluarga apatah lagi keadaan saya sendiri yang tidak sihat serta selalu menangis terkenang padanya. “Sebagai ibu saya sentiasa mendoakan agar dia selamat,” katanya yang merayu pada orang ramai yang mengenali atau mengetahui di mana anaknya itu diminta menghubungi talian 010-5305396 (Nora) atau 012-9357874 (Ema).

myMetro 31 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment