January 31, 2013

Pangsapuri condong



Shah Alam: Lebih 1,000 penghuni yang mendiami 240 unit pangsapuri di Seksyen 22, Batu 3, di sini, menyifatkan mereka ibarat menunggu ajal setiap hari berikutan keadaan struktur bangunan 15 tingkat itu mulai condong.

Sehingga kini, tiada siapa membantu penghuni Pangsapuri Indahria itu menyebabkan mereka pasrah dan hanya menanti kediaman menyembah bumi, sekali gus memungkinkan tragedi Highland Tower berulang.

Wakil penduduk, Salmah Harun, 35, berkata, mereka mula menduduki pangsapuri itu pada 2009 dan pada tahun sama, masalah mula timbul apabila berlaku retakan pada struktur tempat letak kereta.

“Pemaju ada membaikinya semula kerana ia masih di bawah selenggaraan mereka namun pada tahun lalu mendapan tanah mula berlaku apabila kaki lima beralun manakala cerucuk yang menyokong keseluruhan bangunan mula kelihatan.

“Mendapan menyebabkan sokongan terhadap cerucuk yang mengawal dan menyokong struktur bangunan itu semakin lemah dan akibatnya seluruh bangunan ini mulai condong,” katanya.

Dia yang tinggal di tingkat satu berkata, jika kilat, guruh atau kenderaan berat melalui jalan berhampiran, dia merasai gegaran dan ada kalanya seakan-akan berbuai. Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri berkenaan Ariffuniza Koraini berkata, pihaknya sudah menghantar memorandum kepada Pejabat Menteri Besar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.

Katanya, tindakan itu diambil kerana beberapa siri perbincangan sudah diadakan membabitkan kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pemaju, Jabatan Pengairan Saliran (JPS) dan Institut Kerjaraya Malaysia (IKRAM) sejak April tahun lalu.

Katanya, melalui perbincangan itu pelbagai persetujuan secara lisan sudah dibuat termasuk menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk namun tiada gerak kerja fizikal dilakukan.

Menurutnya, antara persetujuan yang dicapai ialah peruntukan kecemasan oleh pihak MBSA sebanyak RM250,000 bagi kerja baik pulih kecemasan pada sistem pembetungan pangsapuri itu yang terjejas akibat rekahan itu.

myMetro 31 Jan 2013


Mendapan teruk perlu lapor PBT

Shah Alam: Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul menasihatkan penduduk Pangsapuri Indahria, Seksyen 22, yang mendakwa rumah mereka mengalami mendapan tanah yang teruk melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, itu langkah pencegahan terbaik bagi mengatasi masalah itu untuk mengelak kemalangan jiwa.

Bagaimanapun, jika terdapat laporan mendapan tanah yang teruk dan ia termaktub di bawah bidang kuasa jabatan itu, pihaknya akan menjalankan tinjauan dan memberikan perkhidmatan sewajarnya.

“Prosedur awal yang perlu mereka ambil ialah memaklumkan mendapan tanah dan rekahan pada bangunan kepada PBT di kawasan pentadbiran masing-masing.

“Pihak bomba hanya bertindak sekiranya terdapat aduan mendapan tanah yang teruk dan kemalangan jiwa,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas mengenai punca masalah hakisan tanah, Mohd Sani berkata, ia bergantung kepada keadaan lokasi di kawasan berkenaan.

Katanya, antara punca hakisan tanah ialah daripada pengaliran air bawah tanah dan struktur tanah yang terhakis disebabkan pengaliran air sungai.

myMetro 31 Jan 2013



Pemaju diarah baiki pangsapuri condong

Shah Alam: Kerajaan negeri sudah mengarahkan pemaju pangsapuri Indahria, Seksyen 22, Batu Tiga, di sini, untuk membaiki kerosakan struktur dan mendapan yang berlaku di pangsapuri berkenaan dalam masa terdekat.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengadakan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) petang kelmarin.

Beliau berkata, sekiranya pemaju enggan membaiki kerosakan struktur pangsapuri berkenaan, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mengambil alih kerja pembaikan itu.

“Kalau MBSA yang menjalankan kerja pembaikan, syarikat pemaju akan dikenakan tindakan dan perlu menanggung kos pembaikan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sistem Pengurusan Sosial Negeri Selangor, di sini, semalam.


myMetro 1 Feb 2013


0 comments:

Post a Comment