January 31, 2013

Kereta kejut tidur


JOHOR BAHRU: Enam sekeluarga yang tidur di ruang tamu terkejut apabila dinding rumah mereka dirempuh sebuah kereta dalam kejadian awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, kereta Proton Waja putih yang dipercayai dipandu laju itu terbabas sebelum merempuh rumah mangsa di Lorong 1, Kampung Jalan Imam, Pandan, dekat sini.

Kejadian itu menyebabkan semua penghuni rumah terbabit bingkas bangun menyelamatkan diri.

Berikutan itu, pemilik rumah berkenaan, Mohd Faris Jaafar, 58, mendakwa kerugian lebih RM10,000 berikutan kerosakan teruk pada dinding hadapan rumah, sistem bekalan air paip serta bumper dan lampu keretanya yang dirempuh di luar rumah.

Mohd Faris berkata, dia tidak menyangka rumahnya dirempuh sebegitu teruk oleh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai penduduk berdekatan kampung itu.

“Saya amat bersyukur kerana tidak ada kehilangan nyawa akibat kemalangan itu apa lagi mengenangkan sebilangan besar ahli keluarga saya tidur di ruang tamu rumah malam tadi (kelmarin).

“Malah, anak bongsu saya yang baru berkhatan beberapa hari lalu juga tidur di ruang tamu. Nasib baik, kami tidak cedera,” katanya.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, isterinya masih trauma kerana sejak menduduki rumah itu lebih 10 tahun lalu, ini kali pertama mengalami kejadian menakutkan sebegini.

“Nasib baik malam tadi tidak hujan lebat. Kalau tidak pasti rumah kami dimasuki air,” katanya.

Sebagai langkah sementara, katanya, dua anaknya memasang kanvas untuk menutup ruang hadapan rumah yang rosak.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Jalan Imam, Yaakob Hashim yang berada di tempat kejadian berkata, beliau difahamkan rundingan dibuat di antara mangsa dengan ahli keluarga pemandu kereta terbabit bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan masalah itu.

Menurutnya, ahli keluarga pemandu terbabit bersetuju menanggung segala kerosakan pada bahagian hadapan rumah dan kereta mangsa.

myMetro 31 Jan 2013

0 comments:

Post a Comment