August 22, 2012

KL ‘panik’ sekejap

Jalan di hadapan Pudu Sentral dinaiki air selepas hujan lebat sekitar 3.40 petang ini, berkemungkinan berpunca dari longkang kecil yang tersumbat dengan sampah-sarap. - Foto Bernama 

KUALA LUMPUR: Beberapa jalan di sekitar ibu kota dilanda banjir kilat menyebabkan sejumlah kenderaan ditenggelami air berikutan hujan lebat petang semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) bomba dan penyelamat menerima panggilan mengenai kejadian banjir daripada orang awam sekitar jam 4 petang, semalam.

“Beberapa jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas, Sentul, Jinjang dan Chow Kit dikejarkan ke lokasi banjir kilat,” katanya ketika dihubungi semalam. Menurutnya, antara kawasan dinaiki air ialah berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Segambut, Kampung Lekuk Kelapa Segambut, Masjid Ubaidiah Segambut, Kampung Kasipillay dan Taman Kolam Air Sentul.

Harian Metro turut difahamkan, lokasi lain yang turut dilanda banjir kilat ialah Jalan Tun Razak, Jalan Rahmat off Jalan Ipoh dan Mutiara Damansara, Petaling Jaya. Bagaimanapun, air di semua lokasi itu surut beberapa jam kemudian dan tiada mangsa dipindahkan.

Sementara itu, jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika dihubungi memaklumkan pihaknya juga ada menerima panggilan banjir membabitkan Kampung Ladang Segambut dan Masjid Wilayah, Jalan Duta.

Bagaimanapun, lalu lintas terkawal dan hanya beberapa kenderaan mengalami kerosakan diberi bantuan.

myMetro 22 Ogos 2012


Air naik selepas hujan dua jam 

SHAH ALAM: Beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini dilanda banjir kilat selepas hujan lebat dua jam, sekali gus turut menyebabkan aktiviti menziarah pada hari kedua Aidilfitri terganggu, petang kelmarin.

Hujan lebat bermula jam 4 petang menyebabkan laluan di kawasan perumahan di Bukit Rimau, Jalan Kebun dan Taman Berjaya dinaiki air lebih setengah meter.

Tinjauan Harian Metro mendapati, selain menenggelamkan beberapa laluan, terutama di kawasan rendah, sebuah pencawang elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Lorong Sekolah, Kampung Jalan Kebun, turut ditenggelami air.

Penduduk, Sofia Mansor, 40, berkata, banjir kilat kerap berlaku di kawasan berkenaan setiap kali hujan lebat melebihi dua jam.

“Saya bimbang apabila pencawang elektrik itu turut dimasuki air manakala taman permainan kanak-kanak di Bukit Rimau berubah menjadi ‘tasik’.

“Saya bersama keluarga sepatutnya menziarah rumah saudara-mara di sekitar kawasan ini, tetapi terpaksa dibatalkan kerana bimbang kenderaan tersangkut,” katanya.

myMetro 22 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment