August 22, 2012

Kilang, rumah papan terbakar

Anggota bomba memadamkan sisa kebakaran yang menyebabkan dua kilang serta sebuah rumah musnah terbakar di Kampung Baru Salak Selatan, semalam.

KUALA LUMPUR - Kegiatan pemilik premis yang mengubahsuai kediaman menjadi kilang perabot dan besi haram terbongkar apabila premis itu hangus dalam kebakaran di Kampung Baru Salak Selatan, di sini, semalam.

Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari itu disedari oleh orang ramai yang melalui kawasan terbabit, sebelum menghubungi bomba.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 12.48 tengah hari.

Beliau berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian kira-kira 13 minit kemudian dan api berjaya dikawal sepenuhnya daripada merebak ke tempat lain termasuk beberapa rumah berhampiran pada jam 1.17 petang.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Ketika kejadian, terdapat empat orang dipercayai pekerja kilang berada di dalam rumah berkenaan. Mereka bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri.

"Jumlah kerugian sebenar serta punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Menurutnya, tempat kejadian merupakan perkampungan yang terdiri daripada rumah papan.

Katanya, sebanyak lima jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak, Pudu, Sentul, Sungai Besi dengan kekuatan seramai 30 anggota terlibat dalam operasi memadam kebakaran.

Sinar Harian 22 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment