August 22, 2012

Dua lelaki parah tembung dua kereta


PERMAISURI: Dua lelaki cedera parah apabila Perodua Kancil yang mereka naiki bertembung dengan dua kereta lain selepas terbabas memasuki laluan bertentangan di Kilometer 39, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Ladang Fikri, Desa Jaya di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, kereta dipandu Mohamad Shakirin Safiin, 22, bersama rakannya, Nor Azahar Mat Kila, 22, dari arah Telemong, Hulu Terengganu untuk pulang ke rumahnya di Jertih, Besut dipercayai terbabas selepas melalui selekoh berbukit ketika hujan.

Mohamad Shakirin yang gagal mengawal kenderaan kemudian memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Hyundai Matrix sebelum terputus dua dan bahagian belakang kenderaan itu melanggar pula sebuah Proton Satria yang datang dari arah Kota Bharu menuju Kuala Terengganu.

Akibat kemalangan itu, Mohamad Shakirin cedera parah di beberapa bahagian badan termasuk patah tangan dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut manakala Nor Azahar pula dalam keadaan kritikal dan masih tidak sedarkan diri.

myMetro 22 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment