August 22, 2012

‘Warkah Buat Isteri’


SEREMBAN: “Doktor menjangkakan hayat isteri hanya 20 tahun saja, namun saya percaya, ajal di tangan Allah dan siapa kita untuk menentukannya,” luah bekas perunding kewangan, Abil Fikri Ahmad, 43, yang pasrah mengharapkan isterinya, Fauziah Muhamad, 38, pulih daripada penyakit kegagalan saraf otak dialaminya sejak lebih setahun lalu.

Menurut Abil Fikri beliau tidak pernah sekalipun berputus harap melihat keadaan isterinya yang baru dikahwini dua tahun lalu kini terlantar seperti kayu, umpama jasad tidak bernyawa akibat kegagalan saraf otak selepas diserang asma.

Katanya, dia reda dan menganggap apa yang berlaku antara ujian Allah yang harus ditempuhi, walaupun isterinya dianggap sudah tidak mampu untuk sembuh.

Mengimbas laporan Harian Metro terdahulu, Abil Fikri yang berkhidmat di sebuah bank di ibu negara sanggup berhenti kerja demi menjaga Fauziah yang kini terlantar akibat penyakit itu sejak Jun tahun lalu.

“Walaupun berat hati untuk mengetahui harapan isteri sama ada boleh pulih atau tidak, saya terpaksa bertanyakan doktor untuk persediaan di masa depan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Putih, Rasah, di sini.

Katanya, lebih memilukan, keadaan isterinya makin teruk dan doktor menjangkakan wanita itu tidak mampu pulih lagi dan akan terlantar sehingga akhir hayatnya. “Kini, isteri terlantar hampir setahun dua bulan dan doktor menjangkakan, sekiranya lebih setahun dia berkeadaan begitu, harapan untuk pulih amat tipis.

“Namun, setiap hari saya akan terus berharap dan bersabar menunggu ‘kepulangan’ isteri tercinta,” katanya.

Untuk membuktikan cintanya pada si isteri, dia mencipta sebuah blog bertajuk ‘Warkah Buat Isteri’ sebagai rentetan kehidupan dilaluinya termasuk ketika menjaga wanita itu.

“Saya tidak sangka, pembabitan saya dalam blog tiga bulan lalu mendapat sambutan menggalakkan apabila kini hampir mencecah 300,000 pengikut. “Alhamdulillah, kini dengan bantuan masyarakat di luar sana, saya kini mendapat semangat luar biasa berikutan orang ramai tidak putus memberikan dorongan,” katanya.

Abil berkata, sebenarnya dia tidak terfikir untuk membuat blog berkenaan, bagaimanapun, sebaik memikirkan kemungkinan isterinya sembuh dan ditakdirkan dia meninggal dunia, wanita itu dapat membaca setiap luahan hatinya.

“Blog abil4fauziah.blogspot.com saya tujukan khas buat isteri tersayang dan diharap setiap pembaca mendapat manfaat berikutan di dalamnya saya turut menyelitkan beberapa motivasi dan rangsangan untuk menjadi manusia tabah,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan raya tahun ini, Abil Fikri berkata, dia ada membelikan tiga helai kain sutera dan dua tudung untuk isterinya.

“Saya mahu dia kelihatan cantik di mata tetamu yang hadir nanti, walaupun kain sutera dua meter itu tidak boleh dibuat baju, tapi ianya akan tetap membaluti tubuh isteri saya,” katanya.

“Untuk diri ini, saya hanya membelikan apron untuk dipakai, kemungkinan rumah saya akan didatangi ramai tetamu, untuk tidak mengotorkan baju saya, apron adalah jawapannya,” katanya dengan gelak tawa.

Orang ramai yang ingin membantu Abil Fikri Ahmad boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Bank, 0506-0040577-52-1 atau menghubungi beliau di talian 016-2634258.

myMetro 22 Ogos 2012


ARKIB 22/03/2012

Berhenti kerja jaga isteri derita saraf otak

SEREMBAN: Seorang perunding kewangan sebuah bank di ibu negara sanggup berhenti kerja demi menjaga isterinya yang kini terlantar akibat saraf otak tidak berfungsi selepas diserang penyakit asma sejak Jun tahun lalu.

Abil Fikri Ahmad, 43, yang nekad mengambil keputusan itu tidak lagi mampu menanggung kos untuk mengupah pembantu bagi menjaga serta merawat isterinya, Fauziah Muhamad, 38, wanita yang dikahwini tiga tahun lalu.

“Walaupun kehilangan kerja, saya tidak menyesal mengambil keputusan itu kerana berasa puas dapat menjalankan tanggungjawab terhadap isteri.

“Lebih meruntun jiwa, doktor mengesahkan isteri tiada harapan pulih,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Taman Sri Putih, Rasah, di sini, semalam.

Menurutnya, dua tahun melayari bahtera rumah tangga bersama isteri tercinta, dia diuji dengan dugaan paling besar sebagai seorang suami apabila Fauziah diserang penyakit itu.

“Saya reda dan menganggap ujian ini sebagai satu amanah diberi Allah untuk menunaikan tanggungjawab menjaga isteri yang sakit.

“Kini, isteri hanya bergantung kepada susu untuk mengalas perutnya kerana tidak mampu menjamah makanan lain. Kadangkala hati jadi sebak melihat keadaannya hingga menitis air mata,” katanya.

Menurut Abil Fikri, kisah sedih mereka bermula apabila Fauziah diserang asma teruk pada Jun tahun lalu sehingga mengakibatkan denyutan jantungnya terhenti dan tidak sedarkan diri.

Menurutnya, biarpun pada mulanya sukar menerima kenyataan itu, namun berkat sokongan ahli keluarga dan rakan dugaan itu ditempuh dengan reda.

“Isteri memang ada penyakit asma tetapi tidak kronik, pada Jun tahun lalu dia diserang asma teruk dan perkataan yang terakhir saya dengar dari mulutnya ‘panggil ambulans’ dan kini dia tidak mampu bercakap lagi.

“Saya rindukan isteri yang dulu sebagai tempat bermanja, penghibur dan peneman hidup saya dari kesunyian tetapi kini dia sudah tidak mampu bergerak dan bercakap lagi,” katanya.

Menurutnya, dia yang berhenti kerja sejak Julai tahun lalu kini terpaksa bergantung pada duit simpanannya yang semakin berkurangan untuk menampung kos membeli lampin pakai buang, susu dan kos rawatan Fauziah.

Malah, katanya, bagi mengurangkan beban tanggungan kos sara hidup dan ansuran pinjaman rumah, dia menjual rumah yang baru dibeli di Kuala Lumpur.

“Hidup saya benar-benar diuji kerana selain kos rawatan isteri yang tinggi, saya juga terpaksa meluangkan sepenuh masa dan perhatian untuk menguruskan dia yang terlantar di atas katil.

“Bukan hanya mendapatkan rawatan di hospital saja, malah saya juga sudah berikhtiar menggunakan kaedah rawatan Islam yang diperkenalkan beberapa kenalan, namun keadaan isteri masih tidak berubah dan bertambah teruk sejak 10 bulan lalu,” katanya. Sebarang bantuan boleh disalurkan dengan menghubungi Abil Fikri di 016-2634258 atau memberi sumbangan terus ke akaun bank CIMB milik Abil Fikri Ahmad 0506-0040577-52-1.

myMetro
22 Mac 2012



Kain sutera untuk isteri


Abil mengucup isteri tersayang.

Abil tidak pernah jemu menguruskan isterinya setiap hari.

Abil menunjukkan kain sutera yang dibeli sebagai baju raya Fauziah tahun ini.

Kenangan Abil bersama Fauziah ketika sihat.

SEREMBAN – “Jika tahun lalu saya menyambut Aidilfitri dengan linangan air mata, tapi kali ini saya akan menjadikan sambutan hari raya saya dan isteri sebagai yang paling meriah dalam kehidupan kami berdua,” kata Abil Fikri Ahmad, 44.

Abil berkata, Jun tahun lalu sememangnya amat menguji dirinya apabila isterinya, Fauziah Muhamad, 38, yang dikahwini sejak tiga tahun lalu disahkan lumpuh, selain saraf otaknya tidak lagi berfungsi selepas diserang penyakit asma.

Menurutnya, dia mengambil masa tiga bulan untuk menenangkan diri kerana sukar menerima kenyataan itu.

“Saya memang cukup tertekan ketika itu dan sambutan Ramadan dan Syawal tahun lalu saya raikan dengan rasa tertekan dan sedih.

“Tapi tempoh saya bersedih dan menangis sudah berlalu kerana dalam fikiran saya sekarang hanya mahu pastikan segala keperluan Fauziah disediakan secukupnya dan sempurna sekalipun dia kini hanya mampu terlantar di atas katil,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Puteh, Rasah, dekat sini.

Oleh kerana nasib menimpa isterinya, Abil mengambil keputusan berhenti kerja kerana nekad mahu menjaga isterinya sepenuh masa dengan sebaik mungkin kerana percaya inilah ujian anugerah daripada ALLAH yang menguji keagungan cintanya kepada isteri.

Kembali tabah, bersemangat

Menurut Abil, setelah setahun berlalu, dia kini tabah dan semakin bersemangat untuk menjaga isterinya dan berharap keajaiban akan muncul suatu hari nanti.

“Saya rindukan isteri yang dulu sebagai tempat bermanja, penghibur dan peneman hidup saya dari kesunyian tetapi kini dia sudah tidak mampu bergerak dan bercakap lagi.

“Setiap hari celik sahaja mata, saya akan perhatikan Fauziah dengan harapan dia akan sembuh, tapi saya percaya semuanya ketentuan ALLAH,” katanya.

Ketika ini, Abil hanya mengharapkan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan serta bantuan ahli keluarga selain pernah menerima bantuan sebanyak RM500 daripada Baitulmal.

“Bantuan yang diterima saya gunakan untuk membiayai perbelanjaan perubatan isteri yang mencecah RM2,500 sebulan termasuk beberapa keperluan harian lain seperti bil elektrik dan air.

“Bagi mengurangkan beban tanggungan kos sara hidup dan ansuran pinjaman rumah, saya terpaksa menjual rumah baru dibeli di Kuala Lumpur.

Sutera kesukaan Fauziah

Sementara itu, untuk persia-pan Syawal kali ini, katanya, dia telah membelikan tiga helai kain sutera dan dua selendang untuk Fauziah.

Kata Abil, semasa sihatnya sememangnya setiap kali Syawal pilihan baju raya isterinya ialah baju kurung kain sutera.

“Kalau dulu saya tidak tahu pun jenis kain sutera ini kerana biasanya dia akan pilih sendiri dan saya hanya memberi pandangan sama ada pilihannya cantik atau tidak.

“Tapi sekarang saya perlu ambil tahu kerana ia kesukaan Fauziah dan kain tersebut saya akan pakaikannya ketika Syawal tahun ini,” katanya yang gembira menyambut Syawal bersama Fauziah,

Malah, katanya, bukan sahaja rumah dihias cantik, malah bilik isterinya juga dikemas rapi.

Abil berkata, walaupun isterinya tidak mampu bergerak, namun daripada sinar matanya seakan-akan memahami pengorbanan suami yang sanggup bersama ketika susah mahupun senang.

“Nikmat dunianya telah hilang. Jadi, saya sebagai suami akan pastikan dia dijaga paling terbaik. Tipu kalau saya kata tidak susah menjaga orang sakit, tapi bagi saya ini adalah amanah ALLAH.

“Ini Syawal kali kedua Fauziah terlantar, besar harapan dan doa saya agar Syawal tahun depan ada sinar baru buat kami berdua,” katanya.

Paling menarik setiap hari Abil akan mengambil masa mengemas kini laman blog yang mula dibuatnya sejak awal tahun lalu dengan harapan jika Fauziah pulih, dia sendiri akan membaca bagaimana kesusahan dan ketabahan seorang suami menjaga isterinya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Abil di talian 016-2634258 atau menyalurkan sumbangan menerusi bank CIMB di nombor akaun 0506-0040577-52-1.

Sinar Harian 23 Ogos 2012


Abil: 'Gee pergi dengan tenang'

 SHAH ALAM – Pesakit saraf otak, Fauziah Muhamad, 39 atau Gee, yang kisahnya pernah dibawa Sinar Harian Online tahun lalu, menghembuskan nafas terakhir pagi tadi di rumahnya, Taman Seri Putih, Seremban.

Berita itu disahkan sendiri suaminya, Abil Fikri Ahmad, 44.

"Dia (Gee) meninggal jam 9.50 pagi tadi. Saat menghembuskan nafas yang terakhir, saya di sisinya.

"Dia pergi dengan tenang. Wajahnya tenang," kata Abil kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi sebentar tadi.

Menurut Abil, jenazah akan dikebumikan jam 4 petang ini.

Sebelum ini, kisah mereka mendapat perhatian umum setelah Abil sanggup berhenti kerja demi menjaga isterinya yang terlantar sejak tahun lalu.

Gee diserang asma sehingga menyebabkan dia mengalami kerosakan pada saraf otaknya sejak Jun 2011.

Orang ramai yang ingin menziarah boleh terus ke rumah Abil yang terletak di No 36, Taman Seri Putih, Seremban atau di Makam Tuan Haji Syed.

Sinar Harian 2 Apr 2013


Abil: 'Moga bertemu di syurga abadi...'

Kucupan terakhir daripada seorang suami.


 "Pergilah Gee. Pergilah! Walau selepas ini abang tidak lagi dapat mendengar suara rengekmu, tidak lagi dapat menyapu air matamu, namun abang reda.

"Pergilah! Abang yakin, di sana DIA menyediakan tempat lebih baik untukmu. Di sana, akan hilang segala sakit menyerang. Akan lenyap segala derita yang sayang tanggung selama ini."

Dalam kesayuan, Abil Fikri Ahmad, 44, masih murah dengan senyuman. Namun, tangis di hatinya, hanya dia saja yang tahu.

Pemergian isteri tercinta, Fauziah Muhamad, 39, kira-kira jam 9.50 pagi semalam, pasti menjerut tangkai hatinya.

Fauziah atau lebih mesra dipanggil Gee, menderita penyakit saraf sejak hampir dua tahun lalu. Bermula dengan serangan lelah, Gee kemudian menderita lumpuh.

"Gee tidak menunjukkan sebarang perubahan. Cuma sejak kebelakangan ini, keadaannya tenang berbanding biasa. Tidur malamnya sangat lena.

"Malam tadi pun (kelmarin), saya meneman Gee hingga jam 2 pagi. Seperti biasa, saya duduk di sisinya. Melihat matanya, bibirnya segenap wajahnya. Saya tidak pernah rasa puas merenung Gee. Dan selepas ini, tidak lagi wajah itu untuk saya tatap..."

Suara Abil seolah tersekat. Dadanya sebak.

“Pagi tadi (semalam) selepas solat Subuh, saya curi masa untuk tidur sebelum bangun semula bagi dia minum susu. Ketika sedang bancuh susu di tepi katil, Gee tiba-tiba menarik nafas dengan kuat. Dua kali...

"Dia pergi dengan tenang. Wajahnya juga sangat tenang dan bersih. Gee memang isteri yang baik," nada suara Abil semakin hiba. Memanglah berat mata kita melihat kesedihan ditanggung Abil. Namun, berat lagi hatinya menanggung kesedihan atas
kehilangan isteri tercinta.

"ALLAH pinjamkan Gee kepada saya hanya sementara ketika dia sihat dan sakit. Sekarang ALLAH ambil dia kembali. Walau sekasih mana pun saya pada Gee, ALLAH lebih menyayangi dia. Saya reda!"

Menurut Abil, sejak hujung Januari lalu kesihatan isterinya tidak lagi menentu. Berat badannya semakin menyusut. Mulutnya pula tidak lagi dapat ditutup.

Malah katanya, arwah tidak lagi menunjukkan sebarang tindak balas ketika diusik berbanding biasa.

"Saya melihat perubahannya. Semakin hari semakin lemah.

“Sebelum ini jika saya usik tapak kaki Gee, dia akan bertindak balas. Tapi sejak akhir-akhir ini tiada lagi.

“Dia pun tidak lagi marah-marah atau merengek. Apa yang saya nampak keadaannya sangat tenang dan dia akan buka mata setiap kali saya berada di dalam bilik,” katanya.

Selain itu katanya, sebelum ini, menerusi laman blognya, dia juga turut meminta rakan-rakan dan pembaca agar sama-sama mendoakan keadaan kesihatan isterinya yang semakin tidak menentu.

Namun ajal dan maut di tangan TUHAN. Isteri tersayang yang dijaga penuh perhatian akhirnya pergi buat selama-lamanya.

“Ketika dia sihat saya pernah tanya adakah dia berpuas hati saya menjadi suaminya dan dia cakap dia bersyukur.

“Tapi sekarang saya hanya dapat tanya diri sendiri, adakah saya telah menjaga isteri saya dengan baik ketika dia sakit dan menjalankan tanggungjawab dan ujian daripada ALLAH ini dengan sempurna,” katanya.

Ketika ditanya tentang perancangannya selepas ini, kata Abil, dia tiada perancangan khusus namun berhasrat menjadi pakar motivasi bagi berkongsi pengalaman tentang alam rumah tangga.

Sementara itu, rumah Abil tidak putus-putus dikunjungi orang ramai termasuk Raja Datin Seri Salbiah Nujumuddin dan pemimpin setempat.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Jamek Rasah dan selamat dikebumikan di Makam Haji Said, Sikamat kira-kira jam 4 petang.

Abil mendirikan rumah tangga dengan Fauziah pada 13 Mac 2009, namun selepas dua tahun merasai nikmat alam rumah tangga, isterinya mendapat serangan asma pada 22 Jun 2011 dan sejak itu dia disahkan lumpuh selain saraf otaknya tidak lagi berfungsi.

Abil yang bekerja sebagai perunding kewangan kemudian mengambil keputusan berhenti kerja kerana nekad mahu menjaga isterinya sepenuh masa sebaik mungkin.

Penderitaan dan ketabahan Abil menjaga isterinya mendapat perhatian umum yang bersimpati selain kagum dengan sikapnya.

"Moga di sana nanti Gee lebih damai. Moga di sana nanti Gee lebih bahagia. Moga di sana ALLAH menempatkannya bersama para syuhada. Dan moga ALLAH mempertemukan Gee dan Abil di syurga abadi."

Sinar Harian 3 Apr 2013


Adik ipar Fauziah: 'Mimpi kakak berpakaian cantik'


 SEREMBAN - “Dua minggu lalu saya sering bermimpi melihat kakak berpakaian cantik sambil tersenyum memandang kami sekeluarga,” demikian kata Wini Roswita Abdullah, 40, adik ipar pesakit saraf, Fauziah Muhamad, 39, yang menghembuskan nafas terakhirnya, pagi semalam.

Menurutnya, setiap kali dia bermimpi tentang Allahyarham, dia akan memaklumkan perkara itu kepada abangnya, Abil Fikri Ahmad.

“Saya pun tidak tahu kenapa. Tapi saya kerap bermimpi tentang arwah dan ketika itu saya tidak rasa apa-apa. Kali terakhir saya berjumpa dengannya dua hari lalu. Keadaannya tidak lagi bermaya dan berbeza berbanding sebelum ini,” katanya.

Wini berkata, Allahyarham seorang kakak yang baik dan rajin memasak setiap kali adanya perjumpaan keluarga.

Bagaimanapun katanya, air tangan masakan Allahyarham tidak dapat lagi dirasai selepas dia terlantar sakit.

“Sebenarnya seminggu sebelum dia dimasukkan ke hospital, kami sekeluarga ada merancang pergi ke Cameron Highlands.

“Biasanya arwah dengan rela hati ambil peranan memasak. Tapi ketika itu dia kata mahu berehat dan rupa-rupanya itu petanda dia akan berehat selama-lamanya,” katanya.

Selain itu Wini berkata, dia bersyukur kerana semasa arwah sakit, dia dijaga dengan rapi oleh abangnya.

“Sejak kecil memang nampak abang saya seorang bertanggungjawab. Saya pada awalnya tidak sangka dia tabah dan setia menjaga isterinya.

“Saya sendiri kagum dengan kesungguhan abang. Dia tidak pernah berputus asa dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami dengan baik,” katanya.

Namun katanya, ALLAH lebih berkuasa dan arwah kini pergi buat selamanya.



Sinar Harian 3 Apr 2013


0 comments:

Post a Comment