August 22, 2012

H1N1 ragut nyawa seorang wanita muda


SEREMBAN - Seorang wanita berusia 27 tahun meninggal dunia akibat Influenza A (H1N1) di Negeri Sembilan beberapa hari lepas, kata Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zailan Adnan.

Beliau berkata, pihaknya telah melakukan siasatan terperinci dan keadaan adalah terkawal serta tiada penularan wabak itu.

"Kami telah menjalankan siasatan terperinci dan telah memastikan tidak ada di kalangan keluarga mangsa yang dijangkiti H1N1," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr. Zailan berkata, wanita yang bekerja di Singapura itu pulang ke negeri ini beberapa hari lepas untuk bercuti dan telah jatuh sakit serta menerima rawatan di sebuah hospital di sini sebelum meninggal dunia.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak panik atau membuat sebarang spekulasi mengenai perkara itu. - BERNAMA

22 Ogos 2012



H1N1 bukan punca wanita mati

KUALA LUMPUR 23 0gos - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menjelaskan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) bukanlah penyebab langsung kepada kematian seorang wanita di Seremban seperti dilaporkan media, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Hasan Abdul Rahman (gambar) berkata, walaupun wanita terbabit disahkan positif H1N1 selepas menjalani ujian makmal palitan tekak, namun punca kematiannya adalah akibat radang paru-paru.

"Penilaian oleh pakar perubatan mendapati punca utama kematian wanita tersebut akibat jangkitan bakteria yang teruk selain mempunyai masalah berkaitan obesiti.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan H1N1 sebagai satu influenza bermusim, justeru risikonya sama seperti penyakit influenza bermusim yang lain," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau mengulas kes kematian seorang wanita yang pulang bercuti di Seremban sempena perayaan Aidilfitri.

Sehubungan itu, Dr. Hassan menasihati orang ramai yang mempunyai gejala umpama jangkitan influenza agar mendapatkan rehat secukupnya di samping mengurangkan kunjungan ke kawasan tumpuan ramai.

"Jika masih tidak berkurangan, pesakit diminta mengunjungi pusat kesihatan berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Selain itu, langkah pencegahan mudah yang boleh diambil adalah sentiasa menjaga kebersihan diri seperti kerap membasuh tangan dan mengamalkan gaya hidup yang sihat," tambahnya.

Utusan 25 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment