August 22, 2012

Guru dan anak cedera diserang samseng


KUALA TERENGGANU- Dua beranak cedera di muka, kepala dan badan setelah diserang dan dipukul sekumpulan lelaki tidak dikenali di Jalan Sultan Mahmud di sini, lewat tengah malam tadi.
 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan berkata dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, guru yang berusia 46 tahun tersebut bersama isteri dan tiga anak mereka dalam perjalanan dari Chendering ke Kuala Terengganu.
 
Ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Batu Buruk, kereta yang dinaiki keluarga guru itu dihimpit sebuah kereta Perodua Myvi yang dinaiki lima lelaki, dengan seorang daripada mereka menunjukkan isyarat lucah.
 
"Guru berkenaan tidak mengendahkan kelima-lima lelaki tersebut dan meneruskan perjalanan. Namun ketika sampai di hadapan Bank Simpanan Nasional (BSN) Jalan Sultan Mahmud, kenderaannya dihalang sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara yang dinaiki tiga lelaki, memaksanya berhenti," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
 
Manoharan berkata Perodua Myvi itu yang mengekori turut berhenti di sisi kereta guru berkenaan sebelum suspek bertindak membuka pintu kereta dan menarik anak lelaki guru tersebut yang berusia 20 tahun.

Kumpulan lapan lelaki itu kemudian memukul dan menendang penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam tersebut menyebabkan si ayah cuba membantu namun turut dibelasah kumpulan lelaki berkenaan.
 
Isteri mangsa juga turut ditolak kumpulan lelaki tersebut, katanya.
 
"Mangsa tidak tahu punca sebenar dia dan anaknya dipukul sedemikian rupa dan polis masih menyiasat motif serangan sama ada perselisihan faham atau sebaliknya.
 
"Kita telah mengenal pasti pemilik kereta Perodua Myvi dan gerakan memburu suspek bersama rakan-rakannya yang berumur lingkungan 28 tahun ke atas itu sedang giat dijalankan," katanya.
 
Beliau juga meminta suspek yang terlibat dalam insiden pergaduhan itu agar tampil menyerah diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu bagi membantu siasatan. Bernama

22 Ogos 2012

Kes pukul guru, anak: Suspek utama serah diri


KUALA TERENGGANU - Seorang daripada tujuh suspek yang terlibat dalam kes menyerang seorang guru dan anaknya di Jalan Sultan Mahmud di sini, 12.30 tengah malam semalam (Rabu) tampil menyerah diri malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan berkata suspek utama yang juga pemilik kereta Perodua Myvi itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada 11 malam hari yang sama.

Katanya suspek yang berusia 26 tahun itu juga turut membuat laporan polis dengan mendakwa anak guru yang berusia 20 tahun itu merupakan terlebih dahulu menimbulkan provokasi dengan menunjukkan isyarat lucah kepadanya serta empat lagi rakannya di dalam kereta.

"Kita sedang menjalankan siasatan terperinci ke atas kedua-dua laporan yang telah dibuat dan polis juga akan mengambil tindakan ke atas semua pihak yang terlibat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Manoharan berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku perselisihan faham antara punca suspek bertindak sedemikian.

Semalam dua beranak cedera di muka, kepala dan badan setelah diserang dan dipukul sekumpulan lelaki tidak dikenali lewat tengah malam di hadapan Bank Simpanan Nasional (BSN) Jalan Sultan Mahmud setelah dihalang sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara yang dinaiki dua orang bersama kumpulan lima orang dalam Perodua Myvi.

Insiden tersebut difahamkan tercetus ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat Batu Buruk di mana kereta yang dinaiki keluarga guru itu dihimpit sebuah kereta Perodua Myvi yang dinaiki lima lelaki, dengan seorang daripada mereka menunjukkan isyarat lucah.

Namun guru yang berusia 46 tahun itu tidak mengendahkan kelima-lima lelaki tersebut dan meneruskan perjalanan dari Chendering ke Bandar Kuala Terengganu sehinggalah kenderaan guru itu dihalang kumpulan tujuh lelaki itu.

Mereka menarik keluar penuntut di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) hingga menyebabkan si ayah cuba membantu namun turut dibelasah kumpulan lelaki berkenaan.

Suspek yang menyerah diri itu kini ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut dan polis kini memburu baki kumpulan itu untuk disoal siasat.- Bernama

23 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment