August 22, 2012

Wanita dalam pantang hilang bersama bayi


 KUANTAN – Kehilangan seorang penghuni rumah perlindungan wanita Ummi Umairah, Jalan Gambang, di sini, menimbulkan tanda tanya kerana wanita berusia 23 tahun itu lesap begitu sahaja tanpa meninggalkan sebarang alasan atau pesanan.

Kehilangan wanita yang mesra dengan panggilan Shahira (bukan nama sebenar) itu hanya disedari pengasas pusat perlindungan itu apabila dia didapati tiada di dalam bilik setelah ditinggalkan bersendirian pada malam raya pertama tiga hari lalu.

Pengasas rumah perlindungan itu, Kelthom Yaacob berkata, Shahira hilang bersama bayi perempuan yang baru sahaja dilahirkan 25 hari lalu.

Menurutnya, wanita berkenaan mendapat perlindungan di rumah itu sejak Disember tahun lalu setelah mengandung anak luar nikah.

“Pada hari raya pertama saya dan suami membawanya ke rumah terbuka di Dewan Jubli perak kerana dia tidak mempunyai ahli keluarga untuk pulang beraya.

“Rakan penghuni yang lain pulang ke pangkuan keluarga masing-masing untuk beraya tetapi dia tidak tinggal bersama kami.

“Selepas pulang dari rumah terbuka, saya dan suami meninggalkannya sendirian di pusat perlindungan kerana ada urusan di luar.

“Kami keluar rumah pada jam 8.30 malam dan apabila pulang dua jam kemudiannya, didapati pintu pagar terbuka, almari di selongkar serta dia sudah tiada di dalam bilik.

“Keadaan di dalam biliknya juga bersepah-sepah dipercayai diselongkar dan semua barang-barangnya serta bayi turut tiada,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, dia mengesyaki kehilangan Shahira melibatkan pihak ketiga kerana anak buahnya itu tidak mungkin bertindak sendirian untuk melarikan diri dalam keadaan masih berpantang.

“Melihatkan keadaan bilik yang seolah-olah diselongkar, kemungkinan mereka ingin cepat meninggalkan tempat ini.

“Sepanjang dia berada di sini, Shahira antara penghuni paling baik dan patuh, malah tidak pernah memberontak.

“Melihatkan kelakuannya tidak mungkin dia bertindak sendiri dan kami sebagai penjaga syak serta bimbang ada pihak ketiga yang merancang kehilangannya.

“Ketika dia masuk ke sini usia kandungannya hanya berusia sebulan dan dia masuk ke sini dengan kerelaan sendiri memandangkan tidak tempat bergantung.

“Tetapi ada seorang lelaki yang sering datang untuk berkahwin dengannya tetapi kerana halangan tertentu hasrat itu tidak termakbul.

“Kami bimbang sekiranya lelaki itu yang membawa Shahira dan anaknya keluar dari sini,” katanya.

Bagi Kelthom, Shahrira sudah dianggap sebagai ahli keluarga sendiri dan pihaknya juga sudah mendapatkan pekerjaan untuknya.

“Kami sudah mendapatkan pekerjaan untuknya sejak dia tinggal di sini dan dia boleh meneruskan pekerjaan walaupun selepas melahirkan bayi.

“Kami bimbang tentang keselamatan bayinya dan khuatir jika berlakunya kes pemerdagangan bayi serta takut Shahira kembali kepada kehidupannya sebelum ini yang sosial kerana tiada bimbingan.

“Kami cuba menghubungi telefonnya tetapi dimatikan dan apa yang kami harapkan sekurang-kurangnya dia menghubungi kami melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) supaya kami tidak bimbang.

“Kami cuba menjejakinya melalui alamat tempat tinggal di Kuala Lumpur tetapi lokasi rumah setinggan itu sudah tidak wujud sekarang.

“Kami sudah ada perancangan untuknya demi masa depan lebih cerah dan terbimbing serta jika ada lelaki yang ingin mengahwininya boleh datang ke sini untuk berunding.

“Demi keselamatannya kami sudah membuat laporan polis dan amat berharap dia pulang semula ke rumah perlindungan Ummi Umairah,” katanya.

Sinar Harian 22 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment