July 31, 2012

Pengsan dibelasah lepas minta maaf



KUALA LUMPUR: Niat baik seorang pemandu van yang mahu memohon maaf selepas terlanggar seorang penunggang motosikal bertukar tragedi apabila dia dibelasah hingga pengsan.

Dalam kejadian jam 10 malam kelmarin, mangsa berusia 25 tahun melanggar belakang motosikal lelaki berkenaan kerana tidak perasan disebabkan lampu belakang motosikal itu tidak berfungsi.

Mangsa yang menyedari kemalangan itu kemudian turun dari van dan meminta maaf kepada lelaki berkenaan yang tidak cedera.

Bagaimanapun, lelaki itu yang bengang kerana dilanggar memecahkan cermin hadapan kenderaan mangsa sebelum memukulnya dengan rantai kunci.

Menurut sumber, mangsa yang tidak sempat memberi penjelasan dan berbincang mengenai kejadian itu diserang bertubi-tubi hingga tidak sedarkan diri.

“Mangsa bukan saja dipukul dengan rantai kunci malah turut ditumbuk dan disepak lelaki berkenaan,” katanya.

Katanya, sebaik mangsa pengsan, lelaki itu melarikan diri meninggalkan mangsa terbaring di tepi jalan.

“Mangsa ditemui abang iparnya selepas tidak tiba di rumah seperti biasa sebelum dihantar ke hospital dengan sebuah ambulans,” katanya.

Mangsa mengalami kecederaan serius di muka, kepala, tangan dan dada.

Katanya, mangsa dirawat di Hospital Selayang sebelum membuat laporan di pondok polis hospital itu.

myMetro 31 Jul 2012

0 comments:

Post a Comment