July 31, 2012

Puluhan motosikal hangus angkara mercun



GOMBAK: Angkara mercun, sebuah stor simpanan kenderaan Pondok Polis Selayang Baru terbakar mengakibatkan puluhan motosikal dan kereta terbakar dalam kejadian Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, kejadian itu disedari seorang anggota polis bertugas pada kira-kira jam 5.45 petang apabila terlihat asap tebal keluar dari stor berkenaan.

Menurutnya, anggota terbabit kemudian terus ke tempat kejadian untuk melihat apa yang berlaku sebelum mendapati kebakaran berlaku di kawasan letak motosikal dan motokar.

“Anggota itu segera menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak memaklumkan kejadian itu sebelum anggota bertugas menghubungi Balai Bomba Selayang.

“Bomba berjaya mengawal dan memadamkan kebakaran itu sepenuhnya dalam sejam. Hasil pemeriksaan dianggarkan lebih 70 motosikal, dua kereta dan sebuah van musnah terbakar,” katanya.

Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati punca kebakaran disyaki perbuatan bermain mercun dan bunga api oleh pihak bertanggungjawab di kawasan luar pagar.

“Selain itu terdapat bazar Ramadan berhampiran stor terbabit malah rumput di dalam kawasan itu juga kering kerana baru dipotong dan disembur racun.

“Pemeriksaan awal forensik bomba mendapati tiada unsur khianat dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

myMetro 31 Jul 2012

0 comments:

Post a Comment