May 31, 2012

Ubah sikap tidak ambil tahu


KEPIS – Mentaliti segelintir masyarakat yang tidak suka mengambil tahu apa berlaku di kawasan kediaman masing- masing perlu diubah. Ketua Balai Polis Dangi, Sub Inspektor Rosli Mohd Shah berkata, masyarakat seharusnya prihatin dengan masyarakat sekitar supaya dapat membantu sekiranya berlaku kejadian jenayah di kawasan mereka.

“Kita amat berharap agar masyarakat turut berperanan menjayakan program komuniti kepolisan, sekali gus bergandingan bersama polis setempat bagi meningkatkan lagi fungsi dan keberkesanannya dalam usaha mencegah jenayah.

“Gandingan bersama ini mampu mengurangkan kadar jenayah dan tidak memberi peluang kepada orang luar melakukan jenayah di tempat kita sendiri,” katanya pada program Komuniti Kepolisan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kepis bersama Balai Rosli (tengah) mengiringi Robin (dua, kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang sukaneka di Dataran Kampung Kepis Baru sempena program Komuniti Kepolisan. Polis Dangi, di Dataran Kampung Kepis Baru, di sini.

Hadir sama, Asisten Superitendan Robin Guha Thakurta selaku wakil kepada Ketua Polis Daerah Kuala Pilah dan Pengerusi KRT Kepis, Ahad Amin.

Menurut Rosli, integrasi antara masyarakat serta anggota polis harus dikekalkan dalam usaha kedua-dua pihak berusaha membendung jenayah di kawasan perumahan atau kampung.

"Dengan adanya kerjasama erat antara kedua-dua pihak, tidak mustahil kadar jenayah boleh dikurangkan memandangkan tugas membendung jenayah bukan terletak di bahu pasukan polis sahaja," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar bergerak bersama-sama dengan polis dalam menjayakan Komuniti Kepolisan bagi menggerunkan penjenayah, sekali gus menghindarkan mereka daripada meneruskan aktiviti jenayah.

Terdahulu, warga polis bersama penduduk kampung turut serta dalam acara pertandingan kerja tangan wanita, pertandingan futsal, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak serta menyampaikan anugerah pelajar cemerlang.

Sinar Harian 31 Mei 2012

0 comments:

Post a Comment