May 31, 2012

Ditetak selepas bergaduh


HULU SELANGOR – Seorang remaja lelaki nyaris maut apabila ditetak bertubi-tubi di seluruh badan oleh sekumpulan lelaki berparang dalam kejadian di Kampung Hassan, Ulu Bernam, Hulu Selangor, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi ketika mangsa, C Vineskumar, 19, berada di rumah abang iparnya, V Rajan, 32.

Beliau berkata, berdasarkan aduan diterima, empat lelaki bersenjatakan tiga bilah parang serta sebatang besi itu menyerbu rumah terbabit, sebelum menarik mangsa keluar.

Menurutnya, berlaku pergaduhan antara mangsa dan kumpulan lelaki itu, sebelum mangsa ditetak dengan parang.

“Tetakan bertubi-tubi itu menyebabkan mangsa cedera parah di bahagian telinga kiri, kaki kanan, belakang badan, jari kanan termasuk di bahagian bahu sehingga ke siku.

Norel Azmi berkata, selepas laporan diterima pihaknya menjalankan operasi bagi menjejaki keempat-empat lelaki yang terlibat dalam kejadian.

“Kita berjaya tahan seorang daripada mereka, manakala yang lain masih diburu.

"Kita akan dapatkan perintah tahanan reman dalam masa terdekat untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Sinar Harian 31 Mei 2012

0 comments:

Post a Comment