May 31, 2012

Padah buat majikan sambil lewa


SEBERANG JAYA – Sebanyak 26 majikan dalam negeri ini didakwa di mahkamah dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini kerana tidak mencarum pekerja.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pulau Pinang, Zainol Abu berkata, daripada jumlah itu, 17 majikan adalah dari kawasan Seberang Perai, sementara sembilan lagi di bahagian pulau. Menurutnya, selain pendakwaan, kompaun turut diberikan kepada 75 majikan iaitu 50 di Seberang Perai dan selebihnya di pulau melalui operasi yang diadakan dari semasa ke semasa.

“Denda maksimum RM10,000 atau dua tahun penjara boleh dikenakan ke atas majikan jika disabitkan kesalahan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969. Sementara, kompaun maksimum yang dikenakan adalah RM1,500.

“Untuk rekod, terdapat kira-kira 1.1 juta pekerja yang berdaftar di Pulau Pinang, namun menyedihkan setakat ini hanya separuh atau 435,000 sahaja yang aktif mencarum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sejurus selepas merasmikan program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2012 di Bangunan Perkeso Negeri di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Perkeso Pulau Pinang, Wee Lian Gin. Zainol dalam pada itu berkata, sepanjang tahun lalu, Perkeso sudah membayar RM38.2 juta secara tunai melibatkan 15,074 kes bagi semua jenis faedah kepada pekerja dan waris pekerja yang meninggal dunia.

Justeru katanya, adalah menjadi tanggungjawab Perkeso untuk mengadakan kempen mengenai penjagaan kesihatan dan langkah pencegahan dari berlaku kemalangan, agar mereka dapat meneruskan tugas dengan sempurna tanpa mengalami gangguan kesihatan.

“Kemalangan boleh berlaku di mana-mana, malah cara kerja seseorang juga boleh membawa kepada kemalangan. Umpamanya penyakit tulang belakang yang berpunca daripada mengangkat benda berat di tempat kerja.

“Oleh itu, penting untuk mendedahkan kepada pekerja mengenai aspek keselamatan bagi mengelakkan berlakunya penyakit pekerjaan terhadap pekerja di negara ini,” katanya.

Sinar Harian 31 Mei 2012

0 comments:

Post a Comment