May 19, 2012

Lima terbunuh nahas Land Cruiser

Anggota polis memeriksa Land Cruiser yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 71.5, Jalan Sri Aman-Kuching dekat Simunjan Sri Aman semalam.

SRI AMAN - Lima lelaki termasuk tiga beradik terbunuh apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler dalam kemalangan ngeri membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 71.5, Jalan Sri Aman-Kuching berhampiran Simunjan dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4.15 petang, kelima-lima mangsa yang terbunuh itu menaiki pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser dan sewaktu kejadian kenderaan itu dalam perjalanan dari arah Kuching menghala ke Sri Aman.

Lima mangsa yang maut ialah tiga beradik, Chiu Siong Kai,32, Chiu Chi Siong,42, dan Chiu Seow Khong,38.

Dua lagi yang terbunuh ialah pemandu Land Cruiser, Wong Siew Yung, 36, dan seorang lagi penumpangnya Allan Richard Wan, 40.

Semua mangsa tersepit dalam Land Cruiser dinaiki mereka dan mayat kesemua mangsa terpaksa dikeluarkan pasukan bomba dan penyelamat.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintendan Mat Jusoh Muhammad berkata, kemalangan itu dipercayai berpunca daripada Land Cruiser yang dipandu laju ketika hujan.

"Sampai di tempat kejadian yang berbukit dan sedikit berselekoh Land Cruiser itu terbabas memasuki lorong bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler yang menghala ke arah Kuching.

"Pertembungan itu menyebabkan Land Cruiser tersebut remuk teruk manakala treler itu pula terbabas ke bahu jalan," kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

Kosmo 19 Mei 2012


Enam maut dalam kemalangan dekat Sri Aman

MENGERIKAN: Keadaan lokasi kemalangan yang meragut lima nyawa lelaki di Jaong, Pantu dekat Sri Aman, semalam.

SRI AMAN: Enam orang maut dalam dua kemalangan berasingan yang berlaku di kawasan Jaong, Pantu dan San Raba, Batu Lintang di Sri Aman lewat petang semalam.

Kemalangan di Jaong, kira-kira 73 kilometer dari bandar Sri Aman, melibatkan lima lelaki yang sedang dalam perjalanan dari Kuching ke Sri Aman menaiki kenderaan Toyota jenis Ninja King sekitar jam 4.15 petang.

Kejadian berlaku apabila kenderaan yang dinaiki oleh semua mangsa dipercayai hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah treler yang datang dari arah Sri Aman.

Kelima-lima mangsa yang difahamkan masih bujang mati di tempat kejadian.

Manakala, seorang pemandu kenderaan Proton Saga mengalami kecederaan ringan apabila melanggar bahagian belakang kenderaan mangsa tersebut.

Sementara itu di San Raba, seorang wanita dari Sarikei terbunuh di tempat kejadian apabila kenderaan Proton Saga yang dipandunya bertembung dengan sebuah treler pada jam 4.30 petang semalam.

Mangsa yang sedang memandu dari arah Sri Aman menuju ke Betong dipercayai cuba memintas tiga buah kenderaan di hadapannya, namun gagal sehingga menyebabkan pertembungan dengan treler terbabit.

Manakala, salah sebuah kenderaan iaitu Isuzu D-Max yang gagal dipintas mangsa pula terbabas ke dalam parit berkenaan.

Namun, tiada sebarang kecederaan terhadap penumpang di dalam Isuzu D-Max itu.

Dalam pada itu, satu lagi kemalangan membabitkan kenderaan Perodua Kelisa dan Toyota Avanza berlaku di Sedarat, Lubok Antu petang semalam.

Namun demikian, tiada kecederaan serius dilaporkan dalam kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh ketika dihubungi pemberita mengesahkan kemalangan maut di Jaong, Pantu tersebut.

Utusan Borneo 19 Mei 2012

0 comments:

Post a Comment