May 19, 2012

‘Adam derita, saya sengsara’



SHAH ALAM – “Saraf tunjang Adam semakin lama semakin mengecut. Postur tubuhnya jadi tidak sempurna kesan penyakit itu.

“Mengalas beg sekolah pun Adam tak berdaya sehingga terpaksa kongsi buku teks dengan rakan sekelas.”

Begitulah gambaran keadaan Adam Akbar Ali, 10, yang mengalami penyakit tumor di saraf tunjang, seperti diceritakan bapanya, Akbar Ali Mohamed Noordin.

“Ketika berdiri atau bermain, Adam boleh jatuh secara tiba-tiba kerana gagal mengimbangi badan.

“Adam sering mengadu sakit kepala, belakang dan lutut. Begitu juga di kaki, tangan kanan dan perut. Selalu kami lihat wajah Adam berkerut seperti sembunyikan kesakitannya.

“Bila terlalu sakit, Adam menangis. Namun, mana mungkin tangisan itu dapat redakan sakitnya,” katanya. Ada riak jernih di mata Akbar Ali sewaktu menceritakan penderitaan anaknya.

“Berat badan Adam kini hanya 25 kilogram. Tubuhnya makin susut. Saya dan ibu Adam tidak sanggup melihat keadaan ini berterusan. Anak saya perlu dibedah semula,” katanya.

Kata ibu Adam, Siti Rogayah Syed Ismail, 34, setiap kali Adam menangis, dia juga tidak dapat mengekang air mata.

"Adam derita saya rasa sengsara. Tapi segalanya disembunyikan supaya Adam terus kuat berjuang menahan sakit yang ditanggung," katanya.

Kini, tumor Adam di peringkat kedua. Akhbar berkata, Adam pernah menjalani pembedahan di Hospital Queen Elizabeth di Singapura pada Julai 2010 dan pada 17 November 2011 di Hospital Kuala Lumpur.

“Saya juga mendapatkan khidmat beberapa doktor pakar di Malaysia. Namun, keadaan Adam semakin hari semakin membimbangkan.

“Saya buat kajian dan dapatkan maklumat melalui Internet, saya berhasrat bawa Adam dapatkan rawatan daripada Pakar Neuro, Dr. George Jallo di Hospital Johns Hoopkins, Baltimore, Amerika Syarikat,” katanya.

Akhbar Ali berkata, kebanyakan respons diterima, hospital itu adalah hospital terbaik di Amerika Syarikat dalam beri rawatan kepada penyakit yang dihidapi Adam.

Bagaimanapun, beliau mengakui tidak mampu menyediakan kos pembedahan berharga RM300,000.

Menurut Akbar Ali, sejak Tabung Adik Adam dilancar kelmarin, jumlah terkumpul adalah RM27,000.

“Saya berterima kasih kepada yang derma, beri sokongan serta nasihat. Hanya ALLAH dapat membalasnya,” katanya.

Sinar Harian 19 Mei 2012


Tangisan akibat kesakitan

KUALA LUMPUR – Tangisan kuat Adam Akbar Ali, 10, yang menderita menanggung penyakit tumor saraf tunjang mengejutkan bapanya, Akbar Ali Mohamed Noordin sehingga bergegas membawanya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut Akbar Ali, sebelum ini, Adam sering menangis sekiranya tidak berdaya menahan kesakitan, namun, semalam beliau sudah tidak sanggup melihat anaknya itu menangis dan meraung.

“Adam juga sering mengalami sesak nafas dan sakit di bahagian dada. Perkara ini merunsingkan saya,” katanya ketika ditemui di HKL,semalam.

Adam yang dikejarkan ke HKL kira-kira jam 12.50 tengah hari semalam, ditempatkan di wad kecemasan dan mungkin dibawa pulang ke kediamannya, esok.

“Beberapa pakar neuro ada datang melihat Adam dan meminta tinggal beberapa hari di sini untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Beliau turut memaklumkan sehingga jam 2 pagi semalam, dana terkumpul bagi membantu Adam mendapatkan rawatan membuang sehingga 95 peratus tumor di saraf tunjangnya oleh Pakar Neuro, Dr George Jallo diHospital Johns Hoopkins, Baltimore, Amerika Syarikat ialah sebanyak RM41,000.

“Alhamdulillah, kalau sebelum ini saya ada memaklumkan jumlah keseluruhan pembedahan Adam melibatkan kos sehingga RM300,000, tetapi kali ini setelah mendapat kelonggaran daripada pihak hospital di sana, kos keseluruhan hanya RM175,000.

“Tidak sangka, ramai yang prihatin terhadap penderitaan Adam. Jadi, saya amat berharap dapat mengumpul sehingga RM175,000 dalam tempoh terdekat bagi membolehkan pembedahan Adam dilakukan secepat mungkin,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan bantuan ke akaun Maybank 512101054830 dan Bank Islam 12038025182964.

Sinar Harian 27 Mei 2012


Tumor Adam semakin membesar

SHAH ALAM - Sejak kisah Adam Akbar Ali, 10 menghidap penyakit tumor saraf tunjang disiarkan oleh Sinar Harian dua minggu lalu, sumbangan orang ramai kepada Adam meningkat kepada RM55,700 hingga petang semalam.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Noordin berkata, sumbangan tersebut masih belum mencukupi untuk menampung pembiayaan pembedahan Adam di Hospital Johns Hopkins, Amerika Syarikat yang berjumlah RM175,000.

Menurutnya, beliau sekeluarga berterima kasih kepada penyumbang dan orang ramai yang sentiasa memberikan semangat, nasihat dan sokongan kepada mereka untuk menghadapi ujian itu.

“Saya berharap hasrat saya untuk memberikan rawatan terbaik kepada Adam akan tercapai.

Keadaan Adam sekarang membimbangkan kami sekeluarga kerana Adam kerap sakit kepala dan terpaksa diberikan ubat tahan sakit bagi mengurangkan sakit yang dialaminya.

“Adam dilihat semakin lemah dan kurang selera makan. Kami juga dimaklumkan oleh Pakar Neuro dari Hospital Johns Hopkins, Dr George Jallo bahawa tumor Adam sedang membesar atau air bertakung di dalam saraf tunjang Adam semakin banyak," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Akbar berkata, keadaan tersebut menyebabkan beliau mengambil keputusan membuat ujian Magnetik Resonance Imaging (MRI) di Hospital Pantai, Bangsar, semalam untuk mendapatkan perkembangan Adam yang sebenarnya.

“Saya akan menghantar keputusan MRI tersebut kepada Dr. Jallo dengan segera. Saya juga berharap panel yang dilantik bagi menguruskan perubatan Adam dapat memberikan keputusan secepat mungkin,” katanya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan kepada Adam, bolehlah disalurkan ke akaun Maybank 512101054830 dan Bank Islam 12038025182964.

Sinar Harian 5 Jun 2012


Terengganu bantu pembedahan Adam, sumbang RM100,000

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri Terengganu bersetuju untuk menyumbangkan RM100,000 kepada  Adam Akhbar Ali, 10, yang menghidap penyakit tumor saraf tunjang.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, keputusan itu dibuat setelah beliau mempengerusikan mesyuarat Exco hari ini bagi membolehkan Adam mendapatkan rawatan di Hospital John Hopkins, Amerika Syarikat.

Menurutnya, sumbangan itu adalah dari Tabung Penyakit Kronik Darul Iman, yang menyalurkan bantuan kepada individu yang layak bagi kes-kes penyakit kronik.

“Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad akan menghantar cek seberapa segera dalam tempoh terdekat, mungkin dalam masa tempoh dua atau tiga hari lagi.

“Saya harapkan sumbangan ini akan membolehkannya mendapatkan rawatan. Mudah-mudahan Adam akan sembuh dengan segera dan kembali ceria semula,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman di sini.

Sinar Harian telah menubuhkan Tabung Adik Adam bagi membolehkannya mengumpul wang bagi menampung kos rawatan yang diperlukan.

Adam yang menghidap penyakit tumor saraf tunjang, kini bergantung dengan ubat tahan sakit kerana mengalami sakit kepala berpanjangan, kesan daripada penyakit yang dialaminya itu.

Sinar Harian 7 Jun 2012


Air mata depan PM

PUTRAJAYA - Air mata ibu Adam Akbar Ali, Siti Rogayah Syed Ismail tiba-tiba menitis sebaik sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bersedia membantu mereka sekeluarga mempercepatkan urusan membuat visa bagi menjalani pembedahan di Hospital John Hopkins, Amerika Syarikat.

Ibu berusia 34 tahun itu pada mulanya lebih banyak mendiamkan diri dan melayan keletah anaknya ketika kunjungan Adam yang menghidap tumor saraf tunjang ke Pejabat Perdana Menteri pagi semalam.

Katanya, beliau begitu terharu dengan tindakan serta-merta Perdana Menteri mengarahkan pegawainya membantu mereka sekeluarga menyelesaikan beberapa urusan dokumen termasuklah visa.

"Begitu juga penerimaan kunjungan hari ini, dalam kesibukan sebagai orang paling penting dalam negara, Datuk Seri Najib masih mampu meluangkan masa menerima kami.

"Sebelum menjalani pembedahan, anak sulung saya sangat berharap dapat berjumpa dengan beliau, Alhamdulillah semuanya dapat dilakukan dalam masa beberapa hari lagi Adam dijadualkan menjalani pembedahan," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sinar Harian, pada 25 Mei lalu, melaporkan Adam berhasrat bertemu dengan Perdana Menteri yang dianggap sebagai idolanya.

Impian yang direalisasikan Sinar Harian dan mendapat persetujuan Najib sememangnya mempotretkan jutaan kenangan kepada anak kecil darjah empat Sekolah Kebangsaan Seksyen 7, Shah Alam.

Najib meluangkan masa hampir 15 minit untuk bermesra dengan Adam yang ditemani ibunya, Siti Rogayah dan ayahnya, Akbar Ali Mohamed Noordin.

Sebelum itu, Adam menyampaikan sekeping kad ucapan tulisan tangan kepada Najib berbunyi “Salam Datuk Seri Najib. I Love U. Terima Kasih” dan dibalas Najib kepadanya, "Kpd (kepada) Sdr (saudara) Adam Akbar, semoga ALLAH akan memberi Rahmatnya kpd Adik Adam dalam menjalani pembedahan. Saya berdoa adik Adam akan cepat pulih”.

Dalam pertemuan singkat itu, Najib juga meminta Pejabat Perdana Menteri menghubungi pihak Hospital John Hopkins untuk memberi rawatan terbaik kepada Adam.

Beliau juga menyampaikan sumbangan peribadi kepada Adam.

Sinar Harian 8 Jun 2012


'Doakan pembedahan berjaya'

SHAH ALAM – Adam Akbar Ali, 10, yang menghidap penyakit tumor saraf tunjang berlepas ke Amerika Syarikat semalam, dijadualkan akan menjalani pembedahan pada 21 Jun ini di Hospital John Hopkins, Amerika Syarikat.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Nordin, 43, berkata, Adam akan dimasukkan ke wad pada 18 Jun ini, bagi menjalani pemeriksaan tahap kesihatannya, sebelum pembedahan dilakukan.

Menurutnya, pihak hospital sebelum ini memaklumkan tempoh rawatan di sana mengambil masa selama dua atau tiga minggu, bergantung pada tahap kesihatan Adam.

“Doakan moga pembedahan ini berjaya. Saya harapkan dengan pembedahan itu mudah-mudahan Adam akan sembuh dengan segera dan kembali ceria,” katanya kepada Sinar Harian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sementara itu, ibu Adam, Siti Rogayah Syed Ismail, 34, menitiskan air mata sebaik sahaja ditemui wartawan Sinar Harian, dan melahirkan rasa terharu dengan keprihatinan rakyat Malaysia yang sanggup menyalurkan sumbangan sehingga Adam dapat menjalani pembedahan.

“Dengan masalah kewangan yang dihadapi kami sekeluarga, mungkin sukar bagi kami membayar kos pembedahan Adam sebanyak RM175,000,” katanya.

Siti berkata, selama empat tahun dia dan suami menjaga Adam yang sakit, mereka terpaksa menjual rumah untuk pembedahan pertama Adam pada Julai 2010 di Hospital Queen Elizabeth, Singapura yang menelan belanja RM240,000.

Namun, pembedahan itu hanya memberi penyelesaian sementara dengan mengurangkan risiko dan kesakitan dialaminya.

“Pada waktu itu, saya hanya fikirkan nyawa anak sahaja. Saya dan suami terpaksa gunakan semua kad kredit dan buat pinjaman peribadi bagi membiayai kos pembedahan pada masa itu," katanya,

Beliau berkata, mereka sekeluarga mengucapkan terima kasih pada akhbar Sinar Harian yang banyak melaporkan kisah adik Adam dan sumbangan orang ramai sehingga terkumpulnya dana.

Sehubungan itu, Siti berharap pembedahan Adam berjalan lancar, tanpa komplikasi dan selamat selain berharap rakyat Malaysia mendoakan kesihatan anaknya.

Sinar Harian 16 Jun 2012


Adam pulang ke Malaysia selepas 9 Julai ini


SHAH ALAM –Pesakit tumor saraf tunjang Adam Akbar Ali, 10, dijangka pulang ke Malaysia selepas berjumpa doktor pakar pada 9 Julai ini.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Nordin berkata, anaknya memberi perkembangan positif dan mampu berjalan seperti biasa selepas menjalani beberapa kali rawatan fisioterapi.

“Dengan layanan dan rawatan yang diberikan oleh Hospital Johns Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat. Alhamdulillah, tahap kesihatan Adam bertambah baik,” katanya menerusi emel kepada Sinar Harian, semalam.

Akbar berkata, Adam banyak menghabiskan masa bermain permainan video dan menonton televisyen.

“Esok (hari ini), Adam akan menjalani rawatan fisioterapi bagi memastikan keadaannya pulih dan kembali normal.

“Kami bersyukur dengan perubahan mendadak Adam yang semakin pulih. Doa dan harapan rakyat Malaysia sangat kami hargai,” katanya.

Sinar Harian 4 Jul 2012

0 comments:

Post a Comment