May 19, 2012

Ditembak mati selepas larikan kereta peronda


KUANTAN - Seorang penjenayah yang melarikan kenderaan polis ditembak mati dalam satu kejadian tembak menembak di KM249.2 dekat Jabor, di sini, awal hari ini.

Suspek, Chiang Hon Hing, 39, berasal dari Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur mati akibat terkena tembakan di perut.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, suspek sebelum itu bertindak melarikan kenderaan anggota peronda trafik Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di jalan susur masuk ke tol Lanchang menghala ke Kuantan.

"Kira-kira 1.10 pagi, dua anggota peronda trafik LPT telah membuat pemeriksaan ke atas kereta suspek yang berhenti di tepi jalan susur masuk tol Lanchang menghala ke Kuantan.

"Semasa pemeriksaan, tiba-tiba suspek mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan tembakan ke arah anggota polis berkenaan tetapi tidak mengenai anggota peronda terbabit,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. - BERNAMA

19 Mei 2012


Bagai aksi filem


KUANTAN: Selepas merampas dua kereta, termasuk satu kenderaan polis dalam usahanya melarikan diri, seorang penjenayah paling dikehendaki kerana dipercayai terbabit dengan pelbagai kes bunuh, dadah dan curi kereta, mati selepas berbalas tembak dengan polis di Lebuhraya Pantai Timur (LPT), berdekatan Tol Jabor, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.10 pagi, suspek yang dikenali sebagai Chiang Hon Hing, 39, dari Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur dan mempunyai empat rekod jenayah membabitkan kes bunuh, dadah, menghalang tugas penjawat awam dan curi kenderaan, meninggal ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, selepas terkena tembakan di perut.

Kejadian tembak menembak umpama filem Hollywood itu turut menyebabkan anggota polis, Lans Koperal Mohd Jarizan Md Jid, 24, cedera di tangan kanan akibat terkena tembakan penjenayah.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abd Ghani berkata, kejadian bermula di Plaza Tol Lanchang, Temerloh apabila anggota peronda lebuh raya memeriksa sebuah kereta jenis Honda bernombor pendaftaran JAQ 86 yang berhenti di tepi jalan susur masuk tol berkenaan.

Katanya, suspek yang tiba-tiba keluar dari kereta melepaskan beberapa das tembakan ke arah dua anggota terbabit namun tidak mengenai sasaran. Akibat tembakan dilepaskan lelaki terbabit, kedua-dua anggota polis yang menaiki Mitsubishi Pajero bergegas menyelamatkan diri.

“Suspek kemudian bertindak melarikan diri dengan merampas kenderaan milik polis dan pada masa anggota berkenaan terus berbalas tembakan dengannya sebelum meminta bantuan untuk mengejar suspek,” katanya dalam satu sidang media, di sini, semalam.


Katanya, sebaik tiba di Kilometer 113.6 LPT, suspek memberhentikan kenderaan di tepi jalan sebelum melarikan sebuah Proton Waja yang dinaiki dua lelaki dan meneruskan perjalanan menuju ke Kuantan sambil dikejar anggota polis.

“Namun, apabila tiba di Tol Jabor, suspek yang melihat ada anggota polis melakukan sekatan, cuba berpatah balik dan terus berbalas tembakan dengan polis.

“Dia kemudian keluar dari kenderaan dan melepaskan tembakan ke arah anggota polis yang cuba memintasnya, namun penjenayah terbabit akhirnya tewas selepas terkena tembakan pada bahagian perut,” katanya.

Sharifuddin berkata, seorang anggotanya turut cedera pada bahagian tangan kanan akibat terkena peluru yang dilepaskan penjenayah terbabit dalam kejadian tembak-menembak itu.

“Anggota polis itu kini dirawat di HTAA dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

Menurutnya, semakan yang dibuat mendapati kereta Honda dinaiki suspek dilaporkan hilang di Kuantan beberapa jam sebelum kejadian dan polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Polis turut menemui pistol jenis Baretta 9mm serta dua kelopak peluru yang digunakan suspek dalam kejadian berkenaan.

Sementara itu, Mohd Jarizan ketika ditemui di HTAA, berkata dia tidak serik dengan kejadian itu walaupun ia hampir meragut nyawanya.

Dia yang berasal dari Taman Mawar, Johor bersyukur kerana selamat dalam kejadian dan akan kembali bertugas apabila pulih daripada kecederaan.

“Nak kata trauma tu tak juga, ini lumrah tugas seorang anggota polis, syukur saya selamat,” katanya.

myMetro 2 Mei 2012

0 comments:

Post a Comment