May 31, 2012

Lelaki warga Afrika mati dibelasah


SUNGAI BULOH: Seorang lelaki warga Afrika mati dengan kedua-dua tangan diikat dipercayai dibelasah teruk oleh sekumpulan penduduk di Saujana Damansara, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa yang identitinya tidak dikenali ditemui dalam keadaan tidak bermaya di kawasan perumahan sebelum disahkan mati sebaik tiba di Balai Polis Damansara Damai.

Difahamkan, mangsa dibelasah sekumpulan individu di sekitar restoran di Damansara Damai sebelum kedua-dua tangannya diikat dengan tali pinggang.

Mangsa dikatakan berlari dalam keadaan cedera parah hampir 300 meter apabila dikejar penduduk berkenaan sebelum ditemui sepasukan anggota polis dalam keadaan lemah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Meor Hamdan Meor Mohamad ketika mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa disahkan mati sebaik tiba di Balai Polis Damansara Damai akibat kecederaan yang dialami.

“Siasatan awal polis mendapati berlaku pergelutan berdekatan kawasan restoran di Damansara Damai berdasarkan kesan darah.

“Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dikejar kumpulan penduduk sehingga lelaki itu ditemui di kawasan perumahan di Saujana Damansara iaitu 300 meter dari lokasi pergaduhan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Meor Hamdan berkata, siasatan terperinci sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk bedah siasat dan polis akan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Berita Harian 31 Mei 2012

0 comments:

Post a Comment