May 31, 2012

Keriangan bertukar tragedi

Nahar (tiga, kiri) mengangkat jenazah anaknya sebelum dibawa pulang untuk dikebumikan.

KUALA KUBU BHARU - Keriangan dua beradik bersama rakannya menghabiskan cuti sekolah dengan bermandi di sungai belakang rumahnya bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas.

Anak sulung daripada lapan beradik, Mohamad Baihaqi Mohamad Sahiful Nahar, 15, ditemui lemas di lubuk Sungai Dusun, Felda Soeharto dekat sini selepas sejam keluar bersama adiknya ke sungai itu petang kelmarin.

Ayah mangsa, Mohamad Sahiful Nahar Damyati, 43, berkata, anak sulung dan anak keduanya ada meminta izin untuk keluar mandi di sungai berkenaan kira-kira jam 4.30 petang dan sejam kemudian jirannya memberitahu anaknya lemas dan dibawa penduduk kampung ke klinik.

“Ketika sedang menjahit, jiran memberitahu anak saya lemas dan dihantar ke klinik.

“Mulanya saya tak tahu siapa, bila tiba di klinik saya lihat anak sulung saya sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) malam kelmarin.

Menurutnya, Mohamad Baihaqi yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sering mandi di sungai berkenaan ketika cuti sekolah.

"Mohamad Sahiful Nahar yang reda dengan pemergian anaknya menganggap kejadian itu adalah takdir ALLAH. Katanya, ketika kejadian arwah anaknya dikatakan mandi di kawasan lubuk sungai dan lemas di situ.

“Anak kedua saya memberitahu pada mulanya dia dan arwah abangnya hanya mandi di tepi sungai tetapi arwah berenang ke kawasan lubuk.

“Di situ, arwah dilihat tenggelam timbul sebelum hilang,” katanya.

Jelasnya, adik arwah yang tidak dapat menyelamatkan abangnya segera meminta tolong daripada penduduk kampung sebelum dibawa ke klinik.

Tambahnya, ketika tiba di klinik pegawai perubatan memberitahu anaknya telah meninggal dunia.

Jenazah Mohamad Baihaqi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Soeharto malam kelmarin

Sinar Harian 31 Mei 2012


Abang masuk lubuk pusar

KUALA KUBU BHARU: “Saya hanya mampu melihat abang tenggelam dan timbul tanpa mampu memberi pertolongan,” kata Mohamad Fakhrurazi Mohamad Sahiful Nahar, 11, menceritakan detik cemas melihat abang sulungnya, Mohamad Baihaqi, 15, lemas ketika mandi di Sungai Dusun pada jam 5 petang kelmarin.

Ketika kejadian, dia bersama abang dan dua rakan lain berumur 12 dan 16 tahun buat pertama kali mandi di sungai itu yang terletak 500 meter dari rumahnya di Jalan Pam Air, Kampung Soeharto, di sini.

Katanya, pada mulanya mereka mula mandi di kawasan yang cetek kerana belum mengetahui keadaan air walaupun air sungai kelihatan jernih.

“Arwah abang memberanikan diri berenang ke kawasan lebih dalam di lubuk pusar berseorangan. Saya cuba melarangnya, tetapi tetap berdegil.

“Saya sedih kerana tidak mampu menyelamatkan arwah abang,” katanya.

Menurutnya, dua rakannya segera memaklumkan kejadian berlaku kepada penduduk kampung bagi mendapatkan pertolongan.

Mohamad Fakhrurazi berkata, dia amat sedih melihat abangnya terbujur kaku apabila diangkat ke tebing sungai itu.

“Saya tidak menyangka kepulangan abang ke kampung dari asrama Sekolah Menengah Agama Simpang Lima, Sabak Bernam untuk menghabiskan cuti selama dua minggu berakhir dengan tragedi amat memilukan ini.

“Arwah adalah seorang abang yang amat bertanggungjawab dan mesra melayani adik beradik lain dalam keluarga,” katanya.

Katanya, arwah abangnya dibawa ke Klinik Kesihatan Kampung Soeharto oleh penduduk kampung bagi mendapatkan rawatan susulan.

Sementara itu, ayahnya, Mohamad Sahiful Nahar Dimyati, 43, berkata, ketika kejadian, dia sedang menjahit pakaian di kedai pakaian terpakai berhampiran rumahnya.

Katanya, dia pasrah dan reda dengan dugaan Allah apabila mendapati anak sulung daripada lapan beradik itu sudah meninggal dunia.

“Selepas tiba di klinik berkenaan, saya hanya mampu berdoa kerana anak sudah tiada. Jenazahnya dituntut di Bilik Mayat, Hospital Kuala Kubu Bharu pada jam 9 malam kelmarin untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Soeharto pada hari sama.

“Saya berterima kasih kepada penduduk kampung yang membantu menyelesaikan urusan pengkebumian arwah anak saya,” katanya.

myMetro 31 Mei 2012

0 comments:

Post a Comment