May 31, 2012

Berbalas bunuh


SUBANG JAYA: Tujuh lelaki ahli kumpulan kongsi gelap Geng 08 dan Geng Satu Hati diburu selepas dipercayai terbabit dalam dua kes bunuh sesama mereka, pertengahan bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, suspek dicari ialah Logeswaran Nagapan atau dikenali sebagai Korangati, 25, dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur; Manoharan Karnanidi atau Serdang Mano, 35, dari Kampung Bunga Melor, Puchong; Surendran Shanmugam atau Bai Suren, 27, dari Taman Puchong Utama; Kumar Manickam atau Kutti, 30, dari Taman Puchong Intan.

Turut dikehendaki Suresh Velu atau Ame, 25, dari Taman Putra Perdana, Dengkil; Surendran Raja atau OCPD, 26, dari Taman Puchong Perdana dan Srisangkar Rajandran atau Cella, 25, dari Taman Puchong Perdana.

Menurutnya, dalam kes pertama, seorang ahli Geng Satu Hati diserang empat ahli Geng 08 ketika dalam perjalanan ke sebuah restoran di Taman Maju Jaya, Puchong, pada 12 Mei lalu.

Katanya, kejadian berlaku jam 11.30 malam apabila Rajkumar Rajendran, 19, bersama dua lagi rakan menaiki kereta ke restoran itu dari rumah mereka di Puchong Perdana.

“Kira-kira 100 meter dari restoran, kereta mereka dipintas satu kereta lain sebelum empat lelaki berparang keluar dan menyerang mangsa.

“Mangsa ditetak di muka serta leher sebelum ditinggalkan berlumuran darah,” kata pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di sini, semalam.

Yahaya berkata, dua rakan Rajkumar yang datang mencarinya menemui mangsa dan membawanya ke Hospital Serdang (HS) untuk rawatan, namun disahkan sudah meninggal dunia.

“Tiga jam selepas kejadian itu, seorang ahli Geng 08 yang menyerang dan menetak Rajkumar pula ditemui mati dibunuh sebelum mayatnya dicampak ke dalam lombong berhampiran kondominium Vista Millenium di Puchong Perdana.

“Mayat Vinod Chandran, 25, ditemui dalam lombong itu oleh seorang pemancing pada jam 4.20 petang,” katanya.

Beliau berkata, polis menahan seorang ahli Geng Satu Hati dan dua ahli Geng 08 berusia 20-an beberapa jam selepas penemuan mayat Vinod.

“Kami berharap orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek terbabit tampil di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

myMetro 31 Mei 2012

0 comments:

Post a Comment