February 5, 2012

Isteri tinggal suami

KUALA LUMPUR: Terlalu taksub dengan ideologi dimomokkan Azhar Wahab, rumah tangga seorang pengikut wanita yang dibina selama 18 tahun musnah dan lebih malang, anak bongsunya tidak dapat mengalami alam persekolahan akibat berpindah-randah.

Bekas suami pengikut ajaran sesat itu dikenali sebagai Rahim, 52, mendakwa mahligai dibina bersama isteri sejak 1986 runtuh pada 2004 sebaik isterinya mendekati ajaran berkenaan dan semakin kerap pulang ke kampung halaman hingga mengabaikan keluarga.

“Sejak kami berkahwin, saya membenarkan Normah (bukan nama sebenar) pulang ke Rembau, Negeri Sembilan sekurang-kurangnya dua kali sebulan. “Tempoh dua tahun terakhir perkahwinan kami, hampir setiap minggu dia pulang ke sana bermula petang Jumaat hingga Ahad. Lebih teruk, anak dibiarkan di rumah hingga terabai.

“Permulaannya, saya tak kisah dia pulang kampung dengan alasan menjenguk ibu bapa, namun kebelakangan itu, Normah mula bersikap pelik, malah gaji bulanan sebagai setiausaha di syarikat swasta mencecah RM3,000 turut habis sedangkan segala perbelanjaan rumah, dapur, bil, anak ditanggung sepenuhnya oleh saya kerana ia tanggungjawab saya sebagai ketua keluarga. Jadi mustahil, duitnya habis begitu saja,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di Balai Berita, di sini.

Katanya, apabila disoal mengenai gajinya, Normah hanya mendiamkan diri.

Rahman berkata, kemuncaknya sebaik pulang daripada kampung, bekas isterinya menyatakan hasrat untuk ‘berubah’, menyebabkan dia gembira dengan keinginan Normah.

“Saya gembira jika dia ingin berubah dan berubat, tapi menimbulkan keraguan ialah amalan bai’ah (perakuan sumpah setia) dilakukan mereka seperti memakan ketulan ais sebagai syarat mendapatkan karamah (kemuliaan) daripada guru.

“Lebih mengejutkan, dia memaklumkan guru itu bagus dan memiliki keistimewaan seperti berbicara dengan semua jenis binatang, termasuk dugong yang dulunya popular di Johor.

“Sejak itu, saya melarang Normah balik kampung kerana bimbang dia terpengaruh dengan ajaran menyeleweng. Namun, niat itu disalah erti apabila dia menganggap saya ingin memutuskan silaturahim dengan keluarganya,” katanya.

Kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab pemimpin ajaran itu, Rahman mengambil pendekatan menasihati Normah, malangnya bekas isterinya seolah-olah terlalu taksub dengan setiap kata-kata diluahkan Azhar Wahab.

Kemuncaknya, bekas isterinya sanggup menggantungkan potret ‘tok gurunya’ berlatarbelakangkan helikopter di ruang tamu rumah, sedangkan gambar keluarga mereka tidak pernah digantung sedemikian.

Menurut Rahman, dia pernah bertemu Azhar Wahab pada satu majlis di rumah bekas mentuanya di Kampung Batu, Rembau dan ketika itu perwatakannya kelihatan warak.

Sebaik berakhirnya ikatan perkahwinan, Rahman menyerahkan rumahnya di Ampang kepada bekas isteri untuk diduduki bersama tiga anak lelaki mereka. Bagaimanapun, kediaman itu kemudian dijual tanpa pengetahuan Rahman dan mereka menyewa di Sri Damansara.

Sejurus berakhirnya tempoh edah, Rahman diberitahu bekas isterinya berkahwin semula dengan seorang pengikut Azhar Wahab.

Naluri seorang bapa ingin menemui warisnya membawa kepada pendedahan mengenai tiga anaknya diabai tanpa penjagaan bekas isteri yang sibuk menguruskan hal berkaitan Azhar Wahab selepas berhenti kerja.

Nekad untuk membela nasib anaknya, Rahman cuba mendapatkan hak penjagaan sebelum bekas isterinya berpindah ke Sabah sebelum menetap di Sungai Petani hingga sekarang.

Katanya, akibat kerap berpindah-randah, anaknya tidak menerima pendidikan sempurna, malah anak bongsunya dilaporkan menuntut di Pusat Tahfiz Amal, Yan, Kedah.

Rahman mengesyaki anak sulung dan keduanya bekerja dengan syarikat milik Azhar Wahab berikutan pernah melihat komputer riba mereka tertera logo perniagaan berkenaan.

Bimbang dengan aktiviti penjualan barangan bagi mengutip dana yang membabitkan anaknya, Rahman berharap pihak berwajib dapat bertindak tegas sebelum lebih ramai kanak-kanak dan pelajar menjadi mangsa.

myMetro
5 Feb 2012

0 comments:

Post a Comment