February 5, 2012

Perlu RM500,000

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak, Annur Mohd Affendi, 9, yang menderita Cerebral Palsy (lumpuh otak) dan Mitochondrial Disease sejak dalam kandungan, memerlukan bantuan RM500,000 untuk rawatan di Beijing, China.

Dalam usaha mengumpulkan dana membantu kanak-kanak itu, Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama Radio IKIM.fm dan Jabatan Muzium Malaysia menganjurkan program ‘Bonanza Amal Hope2walk’ yang berlangsung di Muzium Negara, di sini, semalam.

Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, pada program itu, jualan amal barangan terpakai akan dilaksanakan dengan hasilnya disalurkan ke dalam tabung dana perubatan buat Annur.

“Pelbagai barangan teseperti pakaian, barang perhiasan, buku akan dijual pada harga serendah RM2.

“Kami mengalukan sumbangan orang ramai bagi membantu Annur yang akan berangkat ke Beijing pada 14 Februari ini bagi program perubatan dan pemulihan di Hospital Erkang selama dua tahun,” katanya ketika ditemui media selepas majlis itu.

Ibu Annur, Raja Rohaisham Raja Muhaiddin, 39, berkata, sebelum ini program itu diadakan untuk dua anaknya Annur dan Annisa, namun Annisa meninggal dunia pada 22 Disember tahun lalu akibat masalah sama.

“Selepas ke Beijing, kami akan ke United Kingdom (UK) bagi mengikuti kelas intensif di sana sehingga Annur boleh bergerak dan sihat.

“Kelas diadakan enam hari seminggu selama lapan jam tanpa henti. Diharap usaha membantu Annur menjalani kehidupan seperti insan lain,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Radio IKIM.fm, Nik Roskiman Abdul Samad.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan layari laman web IAM www.iam.org.my atau akaun Maybank nombor 564070002424, CIMB No: 12470000477108, atau hubungi 03-89485939.

myMetro
5 Feb 2012


Sinar baru

SEPANG: “Walaupun kami tahu An-Nur tak akan pulih sepenuhnya, tetapi kami akan lakukan yang terbaik dan berusaha untuk memastikan hidup anak kami lebih baik berbanding sebelum ini,” kata Mohd Affandi Ramli, 39, bapa kanak-kanak yang mengalami Cerebral Palsy (lumpuh otak) dan Mitochondrial Disease sejak lahir.

Mohd Affandi sudah kehilangan anak sulung, Annisa, 11, akibat penyakit sama Disember tahun lalu, mahu anak bongsu yang berusia sembilan tahun lebih baik dan tidak hanya terbaring di katil.

Dia bercuti tanpa gaji selama 18 bulan untuk menemani anak kesayangannya menjalani rawatan latihan fisioterapi dan program pemulihan intensif di Hospital Erkang, Beijing, China.

“Kami percaya pasti ada keajaiban jika terus mencuba. Saya menjadikan semangat Hasan Suyut, bapa adik Atiq Waziq yang menghidap penyakit sama sebagai perangsang untuk mendapatkan rawatan buat anak kami,” katanya ketika ditemui sebelum berlepas ke Beijing, China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, malam kelmarin.

Pembiayaan rawatan adik An-Nur hasil usaha badan bukan kerajaan (NGO) Hope2Walk yang melancarkan Tabung Harapan Annisa dan An-Nur tahun lalu. Selain Mohd Affandi, An-Nur turut ditemani ibu, Raja Rohaisham Raja Muhaiddin, 39, dan seorang penterjemah dari Hope2Walk, Wong Siew Ki. Sementara Raja Rohaisham berkata, beliau berharap perjalanan mereka dirahmati Allah, sekali gus memberi sinar harapan kepada anaknya.

Sementara, Setiausaha Hope2Walk, Nashita Md Noor berkata, mengikut perancangan asal, Annisa dan An-Nur dijangka diterbangkan ke Beijing April depan, sebelum menyambung rawatan pemulihan dan persekolahan khas di Neuro Developmental Treatment Charity (Bird), United Kingdom.

Katanya, sebelum dana mencukupi Annisa meninggal dunia pada 22 Disember 2011.

“Kami hanya mempunyai dana RM150,000 dan menghantar An-Nur lebih awal,” katanya. Orang ramai yang ingin menyumbang boleh salurkan ke akaun Maybank 156114001424 atas nama Mohd Affandi Ramli atau akaun Bank Islam, 14229020019752 atas nama Annisa Mohd Affandi.

myMetro
15 Feb 2012

0 comments:

Post a Comment