February 5, 2012

2 lelaki mati ditembak dikenal pasti

KULIM 4 Feb. - Polis sudah mengenal pasti identiti dua lelaki yang mati ditembak individu tidak dikenali di Jalan Bukit Lada, Lunas, dekat sini petang semalam.

Identiti kedua-dua lelaki yang ditemui dengan kesan peluru di badan itu ialah S. Jegadhiswaran, 44, dari Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara dan S. Murali, 35, dari Lunas.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Ghuzlan Saleh berkata, kedua-dua lelaki itu bekerja sebagai penarik kereta dan dikesan memiliki beberapa rekod jenayah berkaitan dadah.

"Salah seorang daripada mangsa iaitu Murali baru sahaja dibebaskan dari Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam, Johor," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dua lelaki ditemui mati dengan kesan tembakan bersama motosikal dinaiki mereka di Jalan Bukit Lada, Lunas pukul 6.30 petang semalam.

Ketika kejadian, kedua-dua mangsa menaiki motosikal dalam perjalanan ke arah pusat bandar Kulim.

Ghuzlan berkata, polis tidak menolak kemungkinan motif kejadian berpunca daripada dendam atau pertelingkahan dalam kegiatan jenayah.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Utusan
5 Feb 2012

0 comments:

Post a Comment