January 9, 2012

Lima cedera dalam letupan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta

KUALA LUMPUR: Polis sahkan lima cedera dalam tiga letupan berhampiran Kompleks Mahkamah Jalan Duta pagi tadi dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Dua letupan pertama berlaku berhampiran pintu masuk mahkamah manakala yang ketiga di hadapan pintu masuk bangunan LHDN.

Bom buatan sendiri yang meletup disembunyikan di dalam kon polis yang diletakkan di bahu jalan.

myMetro
9 Jan 2012


Letupan Di Mahkamah Berpunca Daripada Bom Jangka:Polis

KUALA LUMPUR: Siasatan awal polis mendapati tiga letupan yang berlaku Isnin pada perhimpunan di tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini berpunca daripada bom jangka buatan sendiri.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata pihaknya menunggu pengesahan pakar dan ahli kimia untuk menentukan jenis dan kelas bahan letupan itu.

Antara bahan-bahan yang dijumpai di kawasan letupan itu ialah serpihan kon plastik, bebola gegalas, jam dan bateri, katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman sosial Facebook pada Selasa.

"Pihak polis telah mengumpul semua bahan bukti dari tempat kejadian dan akan dihantar untuk analisis dan sedang mengesan saksi-saksi lain yang boleh membantu dalam penyiasatan berhubung kejadian tersebut," kata Mohmad.

Seramai 4,500 orang menyertai perhimpunan itu bagi mengikuti keputusan kes liwat melibatkan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mahkamah telah membekaskan dan melepaskannya daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Mohmad berkata tiga letupan itu mengakibatkan empat orang awam cedera dan seorang lagi mengalami kejutan, selain menyebabkan kerosakan kecil kepada kenderaan milik orang awam.

"Kebanyakan kerosakan adalah disebabkan terkena bebola gegalas dan impak letupan. Kebanyakan kenderaan hanya mengalami kerosakan kecil melainkan sebuah motosikal yang mengalami kerosakan yang agak teruk," katanya.

Kes letupan itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 2007), yang jika disabit kesalahan, boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Mohmad berkata siasatan dan usaha untuk mengesan mereka yang bertanggungjawab giat dijalankan dan polis meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu. - BERNAMA

10 Jan 2012


3 bom meletup

BOM...bahan letupan dipercayai buatan sendiri.

KUALA LUMPUR: “Letupan itu lebih kuat daripada bunyi mercun dan ia meletup betul-betul ketika empat orang yang berada depan saya berjalan berhampiran deretan kon lalu lintas yang sedia ada di situ,” kata Naraza Muda, 38.

Dia antara saksi kejadian letupan bom buatan sendiri yang menggemparkan perhimpunan dihadiri ribuan orang pada hari keputusan perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini, pagi semalam.

Naraza berkata, dia terus meniarap di atas jalan dan sebaik melihat keempat-empat orang tadi terbaring berdekatan kawasan letupan itu, dengan pantas dia mengalihkan mereka ke kawasan selamat sebelum polis yang berdekatan membantu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, lima cedera akibat tiga letupan yang dipercayai berpunca daripada bom buatan sendiri itu dan mereka dikenali sebagai Isaiah Jacob, 46; Tang Eng Chee, 48, Yeoh Min Kit, 27, Ng Kien Seng, 36, dan Johari Mansor, 21.

“Semua mangsa dibawa menaiki ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan mereka diberi rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.

myMetro
10 Jan 2012


5 cedera, 8 kereta rosak

KUALA LUMPUR: Tiga bom buatan sendiri yang diletakkan berhampiran Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini meletup dalam tiga kejadian berasingan dalam tempoh 35 minit menyebabkan lima cedera manakala lapan kenderaan rosak, pagi semalam.

Siasatan polis sebaik kejadian menemui beberapa serpihan bahan yang dipercayai digunakan untuk membuat bom itu seperti bateri, wayar, jam detik dan bebola besi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, empat daripada lima mangsa cedera di muka, badan dan kaki berikutan terkena serpihan kon dan bebuli yang meletup manakala seorang lagi mengalami sakit dada.

Beliau memberitahu polis sudah merakam keterangan beberapa saksi kejadian bagi menjalankan siasatan terperinci mengikut Akta Bahan Letupan.

“Nama saja perhimpunan aman tapi apa yang berlaku itu tidak menggambarkan ia aman. Namun, polis berjaya mengawal keadaan daripada berlaku huru-hara.

“Sudah menjadi tanggungjawab polis untuk pastikan keadaan selamat dan terkawal. Saya mengarahkan mereka (polis) terus berkawal sehingga keadaan kembali pulih,” katanya sambil memberitahu setakat ini, tiada tangkapan dilakukan,” katanya.

myMetro
10 Jan 2012


Polis: Motif letupan cetus huru-hara, bukan bunuh

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan bahan letupan dikenal pasti sebagai jerangkap rekaan elektrik (IED) yang diletakkan dalam kon oleh individu tidak bertanggungjawab sewaktu perhimpunan 901 Isnin lalu, bertujuan menimbulkan huru-hara kepada orang ramai.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, secara umum siasatan mendapati individu yang terlibat melakukan perbuatan itu, cuba untuk mewujudkan keadaan kelam-kabut di kalangan peserta perhimpunan.

Menurutnya, tiada niat atau tujuan untuk membunuh dikesan, sebaliknya lebih kepada perbuatan untuk menimbulkan kacau-bilau.

“Kita tidak menolak kemungkinan individu yang melakukan perbuatan itu mempunyai pengetahuan serta kepakaran dalam menghasilkan bahan letupan.

“Kita merampas tiga unit kon, tiga jam berbentuk penggera, tiga paip PVC berukuran 50 milimeter (mm) dan tiga unit bateri berjenama Eveready, GP dan King Long yang digunakan sebagai bahan komponen untuk menghasilkan bahan letupan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Cek dari Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN) kepada balu-balu bagi tahun 2011 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, kon dirampas bukan milik polis dan cantuman serpihan ketiga-tiga kon berkualiti rendah itu menunjukkan tapak kon berbentuk bulat dan empat segi, berbeza dengn kon polis yang tapaknya berbentuk segi tiga.

“Ketebalan saiz kon polis adalah berukuran 7mm, manakala kon yang digunakan dalam kejadian lebih nipis tapaknya iaitu bersaiz 3mm. Kita percaya kon itu dicuri dari kawasan tapak pembinaan dan bukan dibeli,” katanya.

Mohmad berkata, polis meminta orang ramai terutamanya peniaga yang mungkin menjual lebih daripada tiga unit bahan seperti jam penggera, paip pvc dan bateri kepada individu tertentu untuk membantu polis mengenal pasti bahan tersebut.

Katanya, terdapat nombor siri pada paip PVC yang digunakan dan sesiapa yang ada kepakaran tentang bahan ini diharap dapat tampil segera bagi membantu polis mengesan pembelinya.

Menurutnya, orang ramai boleh merujuk semua gambar bahan dirampas melalui laman Facebook Polis KL dan diminta menghubungi pegawai penyiasat Deputi Superintendan Yahya Abdul Rahman, 019-4708946 untuk menyalurkan maklumat.

“Dalam siasatan kes ini kita sangat memerlukan kerjasama orang ramai khususnya yang melihat kejadian atau mempunyai maklumat berhubung individu yang membeli bahan-bahan itu dan meletakkannya di kawasan kejadian,” katanya menegaskan tiada kamera litar tertutup (CCTV) diletakkan di kawasan itu.

Beliau berkata, polis akan cuba menyelesaikan kes ini secepat mungkin dan menggesa semua pihak agar tidak membuat laporan berbentuk spekulasi yang boleh menimbulkan rasa panik serta tidak selesa di kalangan orang ramai.

Sinar Harian
12 Jan 2012



0 comments:

Post a Comment