January 9, 2012

‘Macam pendatang di negara sendiri’

SEMPORNA: “Kami terpaksa terjun ke laut sekiranya terserempak polis ketika berada di pekan bagi mengelak ditangkap,” demikian Panglima (ketua kampung) Kampung Musuk, Abdul Hamid, 55, menggambarkan situasi penduduk di kampungnya yang menghadapi kesukaran akibat tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Menurutnya, bukan saja penduduk kampung, malah dia sendiri hanya memiliki dokumen sementara yang mengesahkan status sebagai Bajau Laut.

“Walaupun kad itu diiktiraf Ketua Anak Negeri ketika itu, ia tidak diterima Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membolehkan saya mendapatkan kad pengenalan yang ada sekarang,” katanya.

Malah, Abdul Hamid juga mengeluarkan belanja yang banyak untuk menguruskan kad pengenalannya termasuk pergi ke pejabat JPN di daerah berhampiran seperti Sandakan dan Tawau.

“Disebabkan generasi pertama seperti kami tidak memiliki kad pengenalan, anak dan cucu kami juga terpalit masalah ini.

“Ia cukup menyukarkan kami untuk bekerja, manakala kanak-kanak tidak boleh bersekolah dan menerima pendidikan sewajarnya,” katanya.

Kampung Musuk yang terletak di Pulau Mabul adalah penempatan masyarakat Bajau di tepi pantai. Perkampungan itu wujud sebelum sebarang aktiviti pelancongan termasuk pembinaan pusat peranginan berlaku di sini.

Difahamkan, ada lebih 100 rumah di kampung itu dan hampir semua penduduk bekerja sebagai nelayan.

Bagi Poldingsita Julmahat, pendapatan antara RM3 hingga RM5 sehari menyebabkan masyarakat di situ tidak mampu menghantar anak mereka ke sekolah.

“Memang ada sekolah rendah kerajaan di sini, tetapi anak kami tidak boleh belajar kerana tidak mempunyai dokumen diri,” katanya.

Kesempitan hidup Poldingsita dapat dilihat melalui keadaan rumahnya yang kecil, tidak mempunyai bilik serta usang. Malah, di rumah kecil itulah dia berkongsi hidup dan makan bersama 10 anggota keluarga yang lain.

Tinjauan di sekitar kampung nelayan berkenaan juga mendapati beberapa rumah tidak ubah seperti pondok kecil, hanya mempunyai tiang dan lantai serta tidak mempunyai dinding.

Malah, atap pula hanya ditutupi dengan daun nipah dan kain bagi membolehkan mereka berteduh daripada panas terik matahari.

Manakala hampir 100 kanak-kanak menghabiskan masa bermain di bawah rumah atau di atas perahu.

Hanya sebahagian kecil daripada mereka memakai selipar, manakala selebihnya kelihatan selesa berkaki ayam. Bagi kanak-kanak yang tidak berpakaian, jelas kelihatan kudis dan kulit yang kotor menunjukkan tahap kebersihan diri masyarakat di sini.

Berbeza dengan perkampungan air di kawasan pekan Semporna, penduduk di Kampung Musuk hanya bergantung kepada lampu minyak tanah sebagai sumber api pada waktu malam.

Sumber air bersih yang digunakan untuk makan dan minum pula diperoleh dengan menadah air hujan. Saban hari kanak-kanak di situ turun ke laut untuk mandi dan membersihkan diri.

Poldingsita berharap kerajaan memandang berat masalah dihadapi mereka.

“Kami bukan pendatang tanpa izin, tetapi kehidupan kami lebih teruk daripada mereka. Sekurang-kurangnya mereka boleh bekerja di bandar manakala kami hanya bergantung hidup sebagai nelayan.

“Jika boleh, biarlah anak cucu kami berpeluang mendapat pendidikan, boleh membaca dan menulis seterusnya mendapat pekerjaan yang lebih baik agar kami boleh mengubah nasib kami,” katanya.

myMetro
9 Jan 2012

0 comments:

Post a Comment