October 4, 2011

Mayat terlentang dalam parit

MUAR – Mayat seorang lelaki dengan beberapa kesan tetakan objek tajam di anggota badan dijumpai dalam sebuah parit berhampiran kawasan semak oleh sekumpulan kanak-kanak di Parit Amal Jalan Seri Tanjung Bakri di sini, kira-kira jam 2.45 petang, kelmarin.

Lelaki terbabit dipercayai telah dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang ke dalam parit di kampung berkenaan.

Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika ditemui berkata, pihak polis tidak menolak mangsa dibunuh dengan kejam kerana bermotifkan dendam.

Menurutnya, sekumpulan kanak-kanak terbabit menjumpai mayat lelaki itu ketika melalui kawasan berkenaan yang terletak tidak jauh dari rumahnya selepas pulang daripada kedai runcit.

“Kanak-kanak itu dikatakan menaiki basikal melalui jalan berhampiran sebelum melihat seorang lelaki terlentang dalam parit tersebut seperti orang sedang tidur.

“Kerana terkejut, kanak-kanak itu segera pulang ke rumah dan memaklumkan perkara tersebut kepada ibunya sebelum membuat laporan di balai polis,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohamad Nasir berkata, bertindak laporan yang diterima, sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Muar bergegas ke lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa berumur dalam lingkungan 20an dijumpai dalam keadaan terlentang dan hanya berseluar pendek.

“Mangsa berambut pendek, kurus, tinggi 5 kaki 7 inci dan dipercayai telah dibunuh kurang daripada 24 jam berikutan tubuhnya masih dalam keadaan baik sebelum dijumpai di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dipercayai beragama Islam dan besar kemungkinan adalah warganegara asing, namun siasatan terperinci masih dilakukan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan tiada sebarang dokumen atau pengenalan diri ditemui pada tubuh mangsa dan sedikit sebanyak menyukarkan polis untuk menyiasat identiti mangsa.

Menurutnya, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan diminta segera membuat laporan polis.

Pihak polis juga mohon kerjasama daripada orang ramai atau saksi yang mengetahui kejadian itu untuk segera tampil memberikan maklumat bagi menyelesaikan kes tersebut.

Sinar Harian
4 Okt 2011


Bapa bunuh anak tampil cam mayat

Polis tahan suspek jumpa kesan darah mangsa dalam rumah, MPV

MUAR: Seorang pengurus bank dipercayai bukan saja memukul anak lelakinya berusia 20 tahun sehingga mati dan mencampakkan mayatnya ke parit di Parit Amat, Jalan Sri Tanjung, dekat sini, awal pagi Sabtu lalu, malah membuat pengecaman mayat apabila diminta polis berbuat demikian.

Lelaki berusia 43 tahun yang bertugas di sebuah bank di bandar ini ditahan di rumahnya di Jalan Temenggong Ahmad, dekat sini, kira-kira jam 10 malam kelmarin susulan daripada siasatan polis di rumahnya yang dikatakan turut menemui kesan darah mangsa selain dalam kenderaan pelbagai guna (MPV).

Suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Tinggi Muar sebelum Pendaftar Mahkamah, Nor'iza Muhammad membenarkan permohonan polis untuk menahan reman suspek selama tujuh hari sehingga 11 Oktober bagi siasatan lanjut.

Sebelum ini suspek dikatakan turut membuat pengecaman mayat anak lelaki sulungnya sebelum polis mengesyaki sesuatu apabila mendapati kereta milik suspek sama seperti kereta yang digambarkan dilihat di tempat penemuan mayat berkenaan pada awal pagi Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang Sabtu lalu, sekumpulan kanak-kanak menemui mayat seorang lelaki yang hanya berseluar pendek dengan kesan tetakan di leher, bahu dan tangan selain beberapa kesan lebam di badannya, di dalam parit di Parit Amal, Jalan Sri Tanjung, dekat sini.

Mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh 24 jam sebelum mayatnya dijumpai dan polis juga masih menjalankan siasatan sama ada mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampakkan di parit itu atau dibunuh di tempat berkenaan.

Polis pada mulanya mengesyaki mangsa adalah warga asing berdasarkan rupa dan kulitnya, namun selepas proses pemeriksaan cap jari dijalankan, identiti sebenar mangsa dikenal pasti, malah keluarga mangsa turut membuat pengecaman.

Sementara itu jurucakap polis mengesahkan pihaknya membuat siasatan di rumah mangsa sebelum bertindak menahan bapa mangsa bagi membantu siasatan lanjut kes berkenaan.

Berita Harian
6 Sep 2011


Bapa disambung reman bantu kes bunuh

MUAR - Mahkamah Majistret semalam membenarkan tahanan reman disambung sehingga 18 Oktober depan ke atas seorang bapa bagi membantu siasatan kes pembunuhan anaknya.

Perintah mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah itu dikeluarkan oleh Majistret Suzana Mokhtar bagi membolehkan polis melakukan siasatan lanjut berhubung kes tersebut.

Lelaki yang berusia 43 tahun itu telah direman selama seminggu pada 4 Oktober lalu bagi membantu siasatan polis menyiasat kes pembunuhan anak lelakinya berusia 20 tahun.

Sebelum ini, sekumpulan kanak-kanak tmenemui mayat seorang lelaki yang hanya berseluar pendek dengan beberapa kesan tetakan di badannya dalam parit berhampiran semak di Parit Amal, Jalan Seri Tanjung, di sini, 1 Oktober lalu.

Mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh kurang daripada 24 jam berdasarkan keadaan mayat yang masih baik sebelum mayatnya dijumpai.

Difahamkan, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui di tempat kejadian.

Sinar Harian
12 Okt 2011

0 comments:

Post a Comment