October 4, 2011

Ambil dadah untuk kurus

AYER KEROH - Seorang operator hotel didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini semalam atas kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan.

Hukuman dijatuhkan Majistret Muhammad Hazri Hanafi terhadap Mohd Reza Mohamed, 27, selepas faham dan mengaku bersalah sebaik sahaja mendengar pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh didapati melakukan pemberian kepada diri sendiri dadah jenis methamphetamine di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, 5.30 petang, 30 Mei lalu.

Terdahulu, tertuduh ketika rayuan memohon mahkamah meringan hukuman ke atasnya kerana sudah menyesal, selain tindakannya itu adalah disebabkan mahu mengurangkan berat badan .

“Saya menyesal dengan tindakan saya yang terpengaruh dengan rakan-rakan yang mencadangkan mengambil dadah untuk kurus. Saya mohon hukuman saya diringankan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi yang mengendalikan kes berkenaan meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap kesalahan dilakukan tertuduh.

Muhammad Hazri kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau dua bulan penjara jika tidak membayar denda dan dua tahun pengawasan sebaik sahaja menasihatkan tertuduh supaya membuat senaman sebagai usaha menguruskan badan.

“Awak boleh pergi gim ataupun jogging di taman rekreasi, bukan sahaja boleh membantu kuruskan badan tapi juga mencergaskan minda. Jangan lagi ulang kesalahan ini sebagai jalan singkat untuk kurus,” katanya.

Sinar Harian
4 Okt 2011

0 comments:

Post a Comment