July 3, 2011

Mengamuk di rumah bekas kekasih

MANGSA... gambar perkahwinan Mui Tiang dan suami dan Ah Ngo, ibu kepada Mui Tiang

MELAKA - Angkara gagal menagih cinta lama, seorang lelaki tiba-tiba naik berang sebelum bertindak mencederakan bekas kekasihnya dan menikam ibu wanita itu sehingga mati dalam kejadian yang menggemparkan penduduk Kampung Baru Ayer Salak, Bukit Rambai, dekat sini malam kelmarin.

Wanita itu, Lim Mui Tang, 32, cedera parah ditikam di perut dan kini dirawat di Hospital Melaka tetapi ibunya, Ah Ngo, 75, meninggal dunia dipercayai akibat ditikam beberapa kali di rusuk kiri dan beberapa kesan kelar di leher dalam serangan tersebut.

Anak lelaki Mui Tang yang berusia dua tahun hasil perkahwinannya empat tahun lalu bagaimanapun terselamat kerana tidur dalam bilik. Suspek yang sebaya dengan Mui Tang datang ke rumah bekas kekasihnya itu pada pukul 7 malam dan berbual dengan mangsa selama kira-kira empat jam di dapur, dipercayai dengan niat untuk menagih cinta lama. Pada waktu itu, suami Mui Tang tidak berada di rumah kerana bekerja di luar negara.

Suspek dipercayai naik berang apabila Mui Tang menolak cintanya dan menyuruh dia pulang memandangkan hari sudah lewat dengan jam menunjukkan pukul 11.40 malam.

Kosmo
3 Jul 2011


Lihat emak, adik berlumuran darah

NGERI... kesan darah memenuhi tilam di ruang tamu rumah mangsa. (gambar kecil Ah Ngo).

MELAKA: Akibat berang kerana cinta tidak berbalas, seorang lelaki mengamuk dengan mengelar leher, tangan dan menikam bekas teman wanita bersama ibunya di Kampung Baru Ayer Salak, Bukit Rambai, dekat sini.

Lim Mui Tiang, 33, dan ibunya, Ah Ngo, 75, ditemui berlumuran darah sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan, namun warga emas itu disahkan mati tidak lama selepas kejadian manakala anaknya cedera parah.

Metro Ahad difahamkan, dalam kejadian jam 11.30 malam kelmarin, Mui Tiang sempat menghubungi abang sulungnya, Lim Ah Lai, 51, memaklumkan dia dan ibu dalam bahaya kerana suspek berusia 33 tahun itu cuba membunuh mereka.

Menurut Ah Lai, dia yang baru pulang ke rumahnya di Cheng Height, dekat sini, dihubungi adiknya lalu bergegas ke lokasi.

“Sebaik sampai, saya dapati pintu rumah berkunci. Apabila saya jenguk melalui tingkap di bahagian depan, saya nampak emak dan adik perempuan terbaring berlumuran darah atas tilam di ruang tamu.

“Saya dan anggota polis yang tiba beberapa minit kemudian menendang pintu untuk membukanya sebelum membantu ibu dan adik yang mengerang kesakitan,” katanya.

Menurutnya, dia cuba bertanya ibunya yang masih boleh bercakap mengenai kejadian yang berlaku.

“Dalam menahan sakit, emak beritahu lelaki (suspek) yang serang dan tikam mereka adalah penduduk kampung itu. Saya cuba mententeramkan emak dan adik sebelum ambulans tiba dan membawa mereka ke hospital,” katanya.

Menurut Ah Lai, dia dimaklumkan adiknya bahawa lelaki itu berada di rumah mereka sejak jam 7 malam hingga 11.40 malam dan dikatakan cuba memikat serta mengajaknya keluar bersamanya.

Katanya, adiknya enggan mengikut lelaki itu kerana sudah berkahwin dan mempunyai anak.

“Ketika kejadian, lelaki itu berada di dapur bersama Mui Tiang yang menggunakan komputer, manakala ibu menonton televisyen di ruang tamu sambil berbaring di atas tilam.

“Saya difahamkan, lelaki itu cuba memikat dan memujuk adik saya yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Dia enggan mengikut lelaki berkenaan dengan alasan mereka masing-masing berkahwin.

“Disebabkan sudah lewat, adik meminta dia balik, namun lelaki itu dikatakan marah dan mengugut membunuh adik. Lelaki itu kemudian mengambil pisau dan menikam adik saya,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan kesakitan, adiknya masih mampu menghubunginya sebelum pergi ke ruang tamu dan melihat lelaki itu menikam dan mengelar leher ibunya yang cuba pergi ke dapur apabila mendengar jeritan adiknya.

Difahamkan, anak tunggal Mui Tiang yang berusia dua tahun dan dikenali sebagai Ah Boi, ketika itu tidur di dalam sebuah bilik dan terselamat.

Menurutnya, Mui Tiang adalah anak bongsu daripada tujuh beradik dan bakal berpindah bersama ibu mereka ke luar negara akhir tahun ini mengikut suaminya yang bekerja di sana.

“Kejadian ini sungguh mengejutkan dan saya sekeluarga sedih serta berharap polis berjaya menangkap lelaki terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, seorang lelaki berusia 33 tahun disyaki terbabit dalam kejadian itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, jam 11 pagi.

Menurutnya, polis masih menyiasat mengenai insiden itu selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam, jam 11.30 malam.

myMetro
3 Jul 2011


Warga emas mati ditikam

MELAKA 2 Julai – Hanya kerana cemburu, seorang lelaki menikam bertubi-tubi sehingga mati seorang wanita warga emas dan mencederakan anak perempuan mangsa di sebuah rumah di Kampung Baru Ayer Salak, Bukit Rambai, di sini malam semalam.

Mangsa, Ah Ngo, 75, maut akibat tikaman itu manakala anak perempuannya, Lim Mui Tian, 33, yang juga bekas kekasih suspek cedera parah.

Dalam kejadian pukul 11.40 malam itu, suspek yang sudah berkahwin datang ke rumah mangsa untuk bersembang ketika suami Mui Tian berada di luar negara kerana bekerja.

Menurut jurucakap polis, Mui Tian kemudian menyuruh bekas kekasihnya yang merupakan rakan sekampung pulang dengan alasan sudah lewat malam.

“Bagaimanapun lelaki itu tidak dapat menerima lalu berlaku pertengkaran antara kedua-duanya. Lelaki itu mengeluarkan pisau dan menikamnya di dapur.

“Suspek seterusnya meluru ke ruang tamu dan menikam ibu mangsa bertubi-tubi hingga mati. Anak lelaki Mui Tian berusia dua tahun terselamat kerana tidur di sebuah bilik,” katanya di sini hari ini.

Mayat Ah Ngo dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat manakala Mui Tian dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye ketika dihubungi hari ini memberitahu, suspek menyerah diri kepada polis kira-kira pukul 11 pagi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Utusan
3 Jul 2011


Jurugambar dituduh bunuh ibu kekasih

KWAN HUA (kanan) diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh seorang warga emas di Melaka semalam.

MELAKA – Seorang jurugambar sambilan berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh seorang warga emas yang juga ibu bekas teman wanitanya di Kampung Ayer Salak di sini 1 Julai lalu.

Tertuduh, Ng Kwan Hua, 32, hanya menganggukkan kepala tanda faham dan tidak membuat sebarang pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Hazri Hanafi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Ah Ngo, 75, dengan sengaja menikam dadanya hingga mati menggunakan sebilah pisau di rumah No 9554, Batu 10, Kampung Air Salak, Bukit Rambai, Batang Tiga di sini pukul 11.40 malam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kosmo
14 Jul 2011

0 comments:

Post a Comment