July 3, 2011

Pensyarah maut dirempuh kereta sendiri

SEREMBAN 2 Julai - Seorang pensyarah wanita maut dirempuh kenderaannya sendiri yang secara tiba-tiba mengundur ketika mangsa hendak menutup pintu pagar di rumahnya di Taman Setia Hati, di sini semalam.

Mangsa, Nor Adibah Ghazali, 44, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJ) di sini, pukul 2.10 pagi akibat cedera parah di kepala.

Difahamkan ketika kejadian kira-kira pukul 6 petang, Nor Adibah yang bertugas di Institut Perguruan Raja Melewar (IPRM) di sini baru sampai ke rumah selepas selesai bekerja.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang memandu Perodua Myvi bersendirian kemudian meletakkan kenderaannya itu di dalam kawasan rumahnya yang agak curam.

"Bagaimanapun, ketika mangsa mahu menutup pintu pagar kereta berkenaan tiba-tiba mengundur lalu merempuh mangsa yang ketika itu berada di belakang.

"Berikutan itu wanita berkenaan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Utusan
3 Jul 2011


Pensyarah dilanggar kereta sendiri


SEREMBAN – Seorang pensyarah wanita tidak sempat meraikan hari ulang tahun kelahiran anaknya apabila dia maut dilanggar kereta sendiri di rumahnya dekat Taman Setia Hati, di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa, Nor Adibah Ghazali, 44, baru pulang dari bekerja di sebuah maktab perguruan di sini.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Myvi secara bersendirian kemudian meletakkan kenderaannya itu di tempat letak kereta di rumahnya.

“Ketika mangsa mahu menutup pintu pagar rumah, kereta berkenaan dipercayai tiba-tiba mengundur, lalu merempuh mangsa yang ketika itu berada di belakang.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital berdekatan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun meninggal dunia kira-kira 2.10 pagi semalam.

“Setakat ini, polis masih menyiasat punca sebenar kejadian,” katanya.

Sementara itu, suami mangsa, Abdul Rafar Tan, 44, berkata, isterinya sudah menempah kek untuk menyambut ulang tahun kelahiran seorang daripada dua orang anaknya.

“Ketika kejadian saya tiada di rumah dan amat terkejut apabila dimaklumkan mengenai insiden berkenaan, kira-kira 6 petang semalam (kelmarin),” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini semalam.

Jenazah Allahyarham Nor Adibah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, tengahari semalam.

myMetro
3 Jul 2011

0 comments:

Post a Comment