July 7, 2011

Budak 10 tahun lemas dalam kereta

Mangsa cari kasut terperangkap lebih 6 jam

SEREMBAN: Hancur luluh hati seorang ibu apabila melihat anak perempuannya berusia 10 tahun yang ditinggalkan dalam kereta sebelum dia bergegas masuk ke kelas untuk mengajar di Sekolah Rendah Islam ABIM di sini, maut dipercayai lemas terperangkap dalam kenderaan itu selama enam setengah jam, petang semalam.

Mangsa, Izzah Athirah Mohd Khir yang belajar di sekolah sama, ditemui ibunya, Haliza Talib, 44, terkulai dalam kereta PERODUA Alza yang diletakkan di pekarangan sekolah itu kira-kira jam 2 petang.

Terdahulu, kira-kira jam 7.30 pagi, Izzah Athirah dikatakan enggan keluar dari kereta bersama ibu serta tiga beradiknya yang lain untuk masuk ke sekolah kerana mahu mencari kasutnya dalam kereta itu.

Bapa mangsa, Mohd Khir Abd Majid, 45, yang juga Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Rembau, berkata disebabkan mahu cepat, isterinya meninggalkan kunci kereta kepada mangsa sebelum beredar.

“Kami tidak tahu mengapa Izzah Athirah tidak keluar dari kereta itu kerana dia sudah biasa dengan kenderaan berkenaan.

“Kejadian disedari ketika isteri pergi ke kereta selepas habis waktu sekolah dan melihatnya terkulai tidak sedarkan diri dalam kereta dan tingkapnya bertutup.

“Isteri saya menghubungi ambulans dan dia dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat HTJS di sini, semalam.

Mohd Khir yang berada di Port Dickson ketika kejadian itu kerana menghadiri mesyuarat, hanya mengetahui mengenainya selepas dihubungi rakannya jam 3.30 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut.

“Kita masih di peringkat awal siasatan dan menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian dan bagaimana dia boleh terperangkap,” katanya yang tidak menolak kemungkinan mengklasifikasikan semula kes itu.

Pada 22 Mei lalu, seorang budak perempuan tiga tahun ditemui lemas dalam kereta yang tertutup rapat dan berkunci ketika ayahnya menghadiri pengebumian sepupunya di Kampung Morak, Tumpat di Kelantan.

Dalam kejadian itu, Nur Izyan Natasya @Aisyah Ishak dikatakan tertinggal di dalam kereta ketika bapanya tergesa-gesa untuk mengusung jenazah kerana menyangkakan dia sudah turun untuk ke rumah sepupunya itu.

Berita Harian
7 Jul 2011


Anak lemas dalam kereta

SEREMBAN - Seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia selepas terperangkap hampir tujuh jam dalam kereta milik ibunya di pekarangan sebuah sekolah rendah agama di bandar ini, semalam.

Bapa mangsa, Mohd Khir Abd Majid, 45, berkata, anaknya, Izzah Athirah, 10, menaiki kereta jenis Perodua Alza bersama isterinya dan tiga adik-beradik yang lain ke sekolah berkenaan.

“Saya difahamkan Izzah Athirah tidak mahu keluar daripada kereta sebab dia tiada kasut sekolah. Sudah puas dia cari kasut itu di merata-rata tempat tetapi tidak jumpa.

“Allahyarham tinggal sendirian di dalam kereta, sementara isteri yang bertugas sebagai guru di sekolah berkenaan terpaksa bergegas ke kelas bersama tiga anak kami, kira-kira jam 7.30 pagi,” katanya kepada pemberita di pekarangan Hospital Tuanku Ja’afar, dekat sini, semalam.

Beliau yang juga Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Rembau (Bahagian Pendidikan Khas dan Swasta) berkata, salah seorang anaknya pergi ke kereta untuk memeriksa :keadaan Izzah Athirah, kira-kira jam 2 petang.

Menurutnya, mangsa terus dikejarkan ke hospital selepas dia ditemui dalam :keadaan lemas, dalam kereta yang berkunci dan ditutup semua tingkap namun disahkan meninggal dunia di hospital sama, kira-kira jam 2.15 petang.

“Semasa kejadian, saya berada di sebuah hotel dekat Port Dickson untuk menghadiri mesyuarat Majlis Tilawah al-Quran Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan 2011.

“Saya terus berkejar ke hospital selepas dimaklumkan seorang rakan mengenai kejadian yang menimpa Izzah Athirah,” katanya.

Mohd Khir berkata, pemergian anak kelima daripada lapan beradik itu diterima dengan reda dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Yayasan Sofa dekat Rembau, pagi ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, mengesahkan telah menerima laporan ibu mangsa berhubung kematian anaknya dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 iaitu penjaga disyaki cuai dalam penjagaan kanak-kanak.

Sinar Harian
7 Jul 2011

0 comments:

Post a Comment