July 7, 2011

Warga emas tak ngaku cabul

AYER KEROH - Seorang warga emas, yang juga pengerusi jawatankuasa sebuah masjid di Merlimau, mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan mencabul kehormatan seorang wanita April lalu.

Tertuduh, Zainodin Abu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan berkenaan dibacakan penterjemah mahkamah di hadapan Majistret Erry Shariman Nor Ariffin, di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Berdasarkan pertuduhan, Zainodin didakwa menggunakan jenayah kekerasan terhadap seorang wanita berusia 38 tahun dengan menarik, memeluk dan mencium pipinya, dengan niat hendak mencabul kehormatan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Kampung Batu Gajah, Merlimau, kira-kira jam 10.30 pagi pada 16 April lalu.

Pertuduhan dijalankan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksima 10 tahun, denda, sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Bariah Yusof, sementara tertuduh diwakili peguam, Azrul Zulkifli Stork.

Nurul Bariah turut memohon supaya mahkamah mengenakan jaminan RM5,000 terhadap tertuduh.

Erry Shariman kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin sementara menanti tarikh sebutan semula kes 12 September depan.

Sinar Harian
7 Jul 2011

0 comments:

Post a Comment