July 7, 2011

Budak maut jatuh tangga bergerak

MUHAMMAD SHEVANA...maut

KUALA LUMPUR: “Saya hanya sempat menyentuh tangannya sebelum dia terjatuh dari tingkat dua,” kata Nathira Begam Abdul Kadir, 34, ibu kepada Muhammad Shevana Zhakir Husin, budak lelaki berusia tiga tahun yang meninggal dunia kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam akibat terjatuh daripada tangga bergerak sebuah pejabat kerajaan di Putrajaya sehari sebelum itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang kelmarin, mangsa mengikut ibu dan bapanya, Zhakir Husin Abdullah, 33, ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen untuk urusan memperbaharui visa bapanya sebelum mereka sekeluarga melawat tempat kelahiran bapanya di Thiruvarur, India.

Sebelum kejadian malang itu, mangsa leka bermain bersama adik bongsunya berhampiran tangga bergerak di tingkat dua bangunan berkenaan lalu terjatuh ke tingkat bawah melalui lubang yang terletak antara penghadang dan tangga bergerak itu.

Mangsa yang cedera parah di kepala mulanya dihantar untuk rawatan kecemasan di Hospital Putrajaya sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) berikutan keadaannya yang kritikal, lewat malam kelmarin.

Selepas tidak sedarkan diri selama beberapa jam akibat pendarahan beku di kepala, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.

Nathira Begam berkata, sebelum kejadian itu, anak bongsunya menangis lalu menghampiri mangsa dan adiknya sebelum tiba-tiba mangsa terjatuh melalui lubang yang tidak diletakkan sebarang penghadang itu.

“Saya tidak sempat menariknya dan hingga kini, kejadian itu masih tidak mampu dilupakan,” katanya ketika ditemui di HKL, di sini, semalam.

Zhakir Husin pula berkata, niat mereka sekeluarga pulang ke kampung halamannya di India tidak kesampaian selepas kejadian yang mengorbankan anak kedua daripada tiga beradik itu.

Menurutnya, sudah lapan tahun dia tinggal di negara ini selepas mendapat pekerjaan sebagai pembantu kedai kopi dan bercadang pulang ke kampungnya bagi memberi peluang kepada ibu bapanya melihat cucu mereka.

“Saya cukup kecewa dengan pengurusan Jabatan Imigresen yang tidak menutup lubang yang boleh ditembusi dengan mudah dan akibat kecuaian mereka, kami kehilangan anak kedua,” katanya.

Katanya, dia sudah membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi semalam dan bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkenaan.

myMetro
7 Jul 2011


Budak maut jatuh eskelator pejabat imigresen


ZHAKIR Husin bersama Nathira Begam dan anak bongsu mereka tidak dapat menahan sedih selepas kematian Mohammad Shevana (gambar kecil) yang terjatuh dari eskelator Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya, kelmarin.

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak berusia 2 tahun 10 bulan maut selepas terjatuh dari tangga bergerak (eskelator) dari tingkat 2 ke tingkat 1 di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya, dekat sini, petang kelmarin.

Ketika kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa Mohammad Shevana Zhakir ditemani ibunya, Nathira Begam Abdul Kadir, 34, menuruni tangga bergerak berkenaan untuk ke kantin selepas selesai memperbaharui visa untuk pulang ke kampung halaman bapanya di India minggu depan.

Shevana dilaporkan terjatuh secara tiba-tiba ke tingkat bawah setinggi 10 meter selepas ruang pemegang tali tangga bergerak itu tidak bertutup dengan sebarang halangan.

Mangsa yang cedera di kepala kemudian dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan, tetapi dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) tengah malam kelmarin, kerana keadaannya bertambah serius.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1.30 petang semalam.

Bapa mangsa, Zhakir Husin Abdullah, 33, yang sudah menetap di negara ini sejak lapan tahun lalu mendakwa satu laporan polis sudah dibuat berhubung kejadian yang menimpa anak keduanya itu.

“Saya hairan bagaimana pihak pengurusan ibu pejabat Jabatan Imigresen tidak memantau keadaan keselamatan di laluan awam di pejabat mereka hingga boleh meragut nyawa anak saya.

“Saya dan isteri akan membawa perkara ini ke muka pengadilan dan berharap perkara yang sama tidak berulang lagi kepada orang lain,” katanya yang ditemui di bilik mayat HKL di sini.

Beliau kesal kerana harapan untuk membawa Shevana bertemu dengan datuk dan neneknya di Thirucchi, India, tidak menjadi kenyataan.

“Kedua-dua ibu bapa saya sering menghubungi saya kerana ingin melihat cucu mereka itu, tetapi musnah selepas kejadian berkenaan,” katanya.

Jenazah Shevana kemudian dibawa ke rumah ibu bapanya di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Gong, malam tadi.

Berita Harian
7 Jul 2011


Imigresen kesal kes budak maut jatuh eskalator

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen kesal dengan kejadian seorang kanak-kanak terbunuh akibat terjatuh dari tangga bergerak (eskalator) di Ibu Pejabat Imigresen, di sini, Isnin lalu.

Jurucakap bahagian komunikasi korporat jabatan itu berkata, pihaknya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan memaklukan satu mesyuarat tergempar yang dihadiri wakil Jabatan Kerja Raya, polis serta penyelenggara bangunan bagi membincangkan tindakan seterusnya.

“Jabatan Imigresen sudah mengambil langkah keselamatan dengan melarang kanak-kanak daripada bermain sekitar eskelator.

“Jabatan sudah memasang penghadang sementara di eskalator terbabit, selain akan mengambil tindakan jangka panjang berhubung perkara itu,” katanya, melalui satu kenyataan, di sini, semalam.

Menurut kenyataan itu, seorang pengawal keselamatan di Bahagian Pembantu Rumah di tingkat dua ada melihat dua kanak-kanak lelaki dan perempuan leka bermain di tepi tingkap manakala ibu mereka berbual dengan orang lain.

“Pengawal terbabit menasihati ibu kanak-kanak itu, tetapi dia berkata ‘tak apa dia ada’. Malah, bagi mengelakkan perkara tidak diingini, pengawal terbabit menurunkan kedua-dua kanak-kanak itu sebelum mengunci tingkap dan turun ke lobi.

“Namun, kira-kira jam 5.10 petang, seorang lelaki memaklumkan seorang kanak-kanak lelaki terjatuh dari eskalator,” kata kenyataan itu.

myMetro
9 Jul 2011

0 comments:

Post a Comment