May 7, 2011

Tiga Tentera Terbunuh Dalam Kemalangan Di Jalan Seremban-Port Dickson

Kereta yang dinaiki tiga anggota tentera remuk selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori tangki minyak di Batu 7, Jalan Seremban-Port Dickson, berhampiran Kampung Bemban dekat Seremban, pagi Sabtu. Kemalangan yang meragut tiga nyawa anggota tebetra itu berlaku pada kira-kira pukul 3.45 pagi ketika kereta mangsa sedang menuju ke Port Dickson manakala lori tangki minyak terbabit datang dari arah bertentangan sebelum bertembung di satu selekoh di jalan itu. - Foto BERNAMA

SEREMBAN: Tiga anggota tentera terbunuh manakala seorang wanita cedera parah selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori tangki minyak di Batu 7, Jalan Seremban-Port Dickson, berhampiran Kampung Bemban dekat sini, Sabtu.

Pegawai Turus Trafik negeri Asisten Supritendan (ASP) Halil Hamzah ketika dihubungi berkata kemalangan berlaku kira-kira 3.45 pagi ketika kereta mangsa yang sedang menuju ke Port Dickson, terbabas ke laluan bertentangan di satu selekoh di jalan itu lalu bertembung dengan lori tangki minyak yang sedang menghala ke bandar ini.

Mangsa yang mati di tempat kejadian akibat cedera parah di seluruh badan dikenali sebagai pemandu kereta Zulhelmi Ismail, 25, dari Gurun, Kedah; penumpang sebelah pemandu Muhammad Afdhaluddin Azhari, 22, dari Nibong Tebal, Pulau Pinang; dan Izzat Badry Badahruddin, 24, dari Klang, Selangor.

Ketiga-tiga mangsa yang masih bujang adalah dari Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED), Port Dickson. Mayat mereka dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini untuk bedah siasat.

Seorang lagi penumpang kereta itu, Nik Nor Shima Abu Kasim, 19, dari Sungai Buloh, Selangor yang cedera parah, merupakan pelajar Politeknik Port Dickson dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTJ.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Jenazah mereka dituntut oleh anggota keluarga di bilik mayat HTJ untuk dikebumikan di kampung masing-masing. - BERNAMA

7 Mei 2011


Simpan duit urus jenazah adik


SEREMBAN: “Dua tiga hari ini saya rasa tidak sedap hati, malah terasa ingin simpan duit lebih, seolah-olah sesuatu yang buruk bakal terjadi,” kata Mohd Zulkhairi Ismail, 26, abang kepada seorang daripada tiga anggota tentera yang maut dalam nahas di Batu 7, Jalan Seremban-Port Dickson, berhampiran Kampung Bemban, di sini, awal pagi semalam.

Menurut Mohd Zulkhairi, kali terakhir dia bertemu adiknya Zulhelmi, 24, pada Mac lalu iaitu ketika kenduri kahwinnya di Gurun, Kedah.

“Tidak sangka keinginan saya untuk menyimpan duit lebih bulan ini adalah petanda ia akan digunakan untuk pengurusan jenazah adik.

“Ketika itu Angah (Zulhelmi) kelihatan sangat gembira. Malah selepas kenduri kahwin saya itu, dia balik semula ke kampung di Jeniang, Gurun, Kedah untuk bertemu ibu,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi, selain Zulhelmi, dua lagi anggota tentera, Izzat Badry Badaruddin, 22, dan Muhammad Afdhaluddin Azhari, 22, maut akibat cedera parah di kepala serta badan manakala rakan wanita mereka dikenali sebagai Nik Norhashimah Abu Kassim, 19, parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi HTJS.

NGERI... kereta yang dinaiki mangsa terperosok bawah treler membawa minyak di Jalan Mambau-Port Dickson, awal pagi semalam.

Kemalangan dipercayai berlaku selepas Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki.

Mohd Zulkhairi berkata, adiknya pernah meluahkan hasrat ingin bertunang dengan seorang jururawat di Baling, Kedah dalam masa terdekat ini, namun tidak sangka hasrat itu tidak tercapai.

“Tidak sangka Angah pergi dulu dan masih terngiang-ngiang dia bersembang dengan saya, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya yang juga anggota tentera dari Kem Batu Cantonment, Kuala Lumpur.

Menurutnya, Zulhemli kini menjalani kursus setahun di Institut Kejuruteraan Elektrik Tentera Darat (IJED) di Port Dickson dan bakal menamatkan pengajiannya Ogos depan.

“Angah mengikuti Kursus Mekanik Kereta di IJED dan setahu saya, sudah lima tahun dia menjadi anggota tentera. Kursus ini bagi kenaikan pangkat pegawai,” katanya.

Ditanya bagaimana dia mengetahui kejadian itu, Mohd Zulkhairi berkata, dia dihubungi ibunya yang memaklumkan mengenai nahas itu kira-kira jam 6.30 pagi.

“Saya seolah-olah tidak percaya, namun sebaik datang ke hospital dan doktor mengesahkan mayat adik saya, hancur luluh hati ini, namun tiada siapa mampu menolak takdir.

“Ayah juga berkali-kali menghubungi saya bertanya sama ada kejadian itu betul atau tidak,” katanya.

Sementara itu, ibu saudara kepada Izzat Badry, Azlita Abd Aziz, 45, berkata kali terakhir mereka bertemu pada Aidlifitri lalu ketika anak saudaranya bercuti.

“Saya mewakili ibunya yang berada di Klang kerana dia tidak dapat hadir disebabkan masalah kesihatan dan hanya menunggu jasad anaknya di rumah.

“Mungkin terkejut hingga kakak saya (ibu Izzat) jatuh pengsan banyak kali, namun kami sekeluarga reda menerima berita ini, Allah lebih menyayanginya,” katanya.

myMetro
8 Mei 2011


Tiga askar maut

Proton Wira remuk selepas bertembung dengan sebuah lori tangki yang mengorbankan tiga anggota tentera di Batu 7, Jalan Seremban-Port Dickson, semalam.

SEREMBAN 7 Mei - Apakah sudah ditakdirkan ramai rakyat negara ini mati di jalan raya?

Hanya selang tiga hari, nahas ngeri menyaksikan empat maut dengan tiga daripadanya digilis lori dalam kemalangan membabitkan enam buah kenderaan dekat Pasir Mas, Kelantan, tiga lagi terbunuh di Seremban, Negeri Sembilan, awal pagi ini.

Nahas terbaharu itu melibatkan tiga anggota tentera yang maut manakala seorang lagi parah selepas kereta yang mereka naiki terbabas lalu bertembung dengan sebuah lori tangki di Batu 7, Jalan Seremban-Port Dickson, di sini.

Kejadian berlaku pukul 3.45 pagi itu mengorbankan pemandu kereta, Mohd. Zulhelmi Ismail, 24, dan penumpang, Muhammad Afdhaluddin Azhari dan Izat Badry Baddarudin yang masing-masing berusia 22 tahun.

Ketiga-tiganya maut di tempat kejadian manakala seorang rakan mereka yang merupakan penuntut Politeknik Port Dickson, Nik Norhashimah Abu Kasim, 19, pula kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban .

Jurucakap polis memberitahu, ketika kejadian kesemua mangsa menaiki sebuah kereta Proton Wira dari Seremban menghala ke Port Dickson sebelum terbabas di satu selekoh berhampiran.

Katanya, kereta itu kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori tangki yang membawa kira-kira 18,000 liter diesel.

"Pelanggaran itu menyebabkan kenderaan mangsa terperosok di bawah lori tangki dan remuk sama sekali. Ketiga-tiga mangsa yang maut itu tersepit dalam kereta," katanya di sini hari ini.

Jurucakap itu memberitahu, pemandu lori tangki yang berusia 30-an tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah membuat laporan polis.

Difahamkan, ketiga-tiga anggota tentera itu sedang menjalani latihan di Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED) di Port Dickson dekat sini, dengan Mohd. Zulhaimi berasal dari Kedah, Muhammad Afdhaluddin, Pulau Pinang, manakala Izat Badry pula, Selangor.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, punca kejadian masih disiasat.

Abang Mohd. Zulhelmi , Mohd. Zulhairi, 26, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan adiknya ketika dia melangsungkan perkahwinan pada Mac lalu di Kedah.

"Ketika itu dia tidak menunjukkan sebarang tanda pelik, sebaliknya sentiasa ceria serta bersama-sama membantu majlis tersebut.

"Saya sedih kerana arwah merancang untuk bertunang dengan teman wanitanya di Kedah, namun hajatnya tidak kesampaian," katanya dalam nada sebak.

Utusan
8 Mei 2011


Tiga tentera terbunuh langgar lori


Hilang kawalan ketika memotong

SEREMBAN: Tiga anggota tentera dari Institut Kejuruteraan Elektrik Tentera Darat (IJED) Port Dickson, maut apabila kereta mereka bertembung sebuah lori tangki di Batu 7 Jalan Seremban-Port Dickson, dekat sini semalam.

Dalam kejadian jam 3.45 pagi itu, Zulhelmi Ismail, 24, dari Gurun, Kedah; Izzat Badry Badaruddin, 22, dari Klang, Selangor dan Muhammad Afdhaluddin Azhari, 22, dari Pulau Pinang yang dalam perjalanan dari sini ke Port Dickson maut di tempat kejadian.

Seorang rakan wanita mereka, Nik Nor Hashimah Abu Kassim, 19, dari Sungai Buloh, Selangor yang juga pelajar Politeknik Port Dickson, parah dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS).

Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku apabila Proton Wira dipandu Zulhelmi dipercayai cuba memotong kenderaan, namun tidak berjaya lalu bertembung lori tangki yang datang dari arah bertentangan.

“Kereta itu dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan hingga melanggar sebuah lori tangki menyebabkan tiga anggota tentera parah di kepala dan badan maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi penumpang parah,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu, di sini, semalam.

Semua mangsa yang meninggal dunia dihantar ke HTJS untuk bedah siasat.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Jurucakap bilik gerakan bomba pula berkata, lima anggota dari Balai Bomba Seremban 2 tiba di tempat kejadian kira-kira jam 4 pagi dan berjaya mengeluarkan mayat yang tersepit kira-kira 17 minit kemudian berikutan keadaan kereta yang remuk di bahagian depan.

Berita Harian
8 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment