May 7, 2011

Bahaya makan di gerai bawah pencawang TNB

BATANG KALI: Penduduk di Jalan Arowana, Hulu Yam Baru, di sini, bimbang setiap kali menjamu selera di deretan gerai yang didakwa beroperasi secara haram berikutan terletak berdekatan stesen pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Asmah, 44, berkata stesen TNB terbabit pernah terbakar ketika orang ramai sedang membeli juadah berbuka puasa tahun lalu.

Katanya, walaupun sudah dua kali kejadian kebakaran berlaku di stesen terbabit namun peniaga gerai di situ masih meneruskan operasi perniagaan mereka.

“Kami rasa gerai terbabit turut menggunakan stesen pencawang terbabit sebagai sumber elektrik untuk gerai mereka.

“Ini sangat membahayakan pengunjung yang makan di gerai terbabit yang mula beroperasi dari jam 5 petang sehingga tengah malam,” katanya.

Menurutnya, bukan sekadar masalah itu saja, tetapi deretan gerai terbabit turut menyebabkan kesesakan jalan pada waktu kemuncak kerana terletak berdekatan dengan sekolah.

“Memang gerai terbabit beroperasi pada jam 5 petang, namun ketika pelajar pulang dari sekolah pada waktu tengah hari, ada yang menjual pelbagai juadah makanan ringan kepada kanak-kanak yang menyebabkan kesesakan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Bahagian Penguat kuasa Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), berkata notis sudah dikeluarkan terhadap gerai terbabit dan proses pengalihan gerai akan dilakukan dalam masa terdekat.

myMetro
7 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment