May 7, 2011

Maut dibunuh anak angkat

MIRI 6 Mei - Kurang dua hari sambutan Hari Ibu, takdir menentukan seorang wanita warga emas, Ranai Langgat, 81, yang lumpuh sebelah badan akibat serangan angin ahmar sejak setahun lalu, maut dibunuh anak angkatnya.

Suspek, Ujang Achawa, 53, yang mengalami masalah mental bukan sahaja bertindak menikam mangsa malah mencekik dan memukul Ranai sehingga wanita itu menemui ajalnya.

Ranai tinggal bersama Ujang yang dibelanya sejak kecil selepas kematian suami dan seorang lagi anak angkatnya, tahun lalu.

Mayat Ranai ditemui berlumuran darah dengan kesan lebam di mata, dada dan kaki manakala kuku kakinya juga disiat-siat di sebuah rumah di Jalan Lintang 5, Taman Tunku, di sini.

Wanita itu yang hanya mampu mengengsot dipercayai dicekik, dipukul dan ditikam bertubi-tubi oleh Ujang yang juga tidak mampu berjalan dan berdiri akibat penyakit gout.

Pemilik rumah berkenaan, Hilda Genda Achaw, 44, yang merupakan adik tiri suspek berkata, dia menyedari kejadian berkenaan pukul 10.30 pagi selepas mendengar bunyi pukulan bertalu-talu dari dalam bilik yang menempatkan mangsa dan suspek.

"Saya ada terdengar bunyi pukulan 'pek..pek..pek' namun tidak mengendahkannya kerana menyangka Ujang sedang bergendang kerana itulah minatnya," katanya sewaktu ditemui hari ini.

Kata Hilda, kira-kira 10 minit selepas itu, dia membuka pintu bilik dan terkejut melihat mayat mangsa manakala suspek pula dilihat berbaring di sebelahnya bagaikan tiada apa-apa yang berlaku.

Menurutnya, suspek baru keluar dari Unit Psikiatri Hospital Miri petang Rabu lalu selepas dirawat selama tiga minggu.

"Belum pun sampai 24 jam dia diarah pulang, kejadian itu berlaku," katanya yang menjelaskan mangsa dan suspek telah menumpang di rumahnya sejak setahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Jamaluddin Ibrahim ketika dihubungi hari ini memberitahu pihaknya masih menunggu laporan perubatan suspek.

Katanya, setakat ini kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Utusan
7 Mei 2011

0 comments:

Post a Comment