November 30, 2010

Tahan sakit demi anak, isteri

TUMPAT: Biarpun kakinya yang patah masih belum pulih sepenuhnya, seorang lelaki berjaya menyelamatkan keluarganya daripada rentung dalam kejadian kebakaran di rumah mereka di Kampung Alor Tal, Bendang Kerian, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, Zulkifli Said, 47, yang mengalami kecederaan berkenaan akibat kemalangan jalan raya lima bulan lalu berjaya menyelamatkan isteri, Tipah Ismail, 38, serta lima anak mereka.

Menurut Tipah, sebelum kejadian, rumahnya mengalami gangguan elektrik sejak jam 7 malam menyebabkan mereka terpaksa memasang lilin.

Katanya, tidak lama kemudian api lilin itu menyambar langsir sebelum merebak ke bahagian lain.

“Ketika itu saya dan suami baru selesai menunaikan solat sebelum terdengar anak-anak menjerit api menyebabkan saya bergegas keluar dari bilik dan berusaha memadam api yang marak itu.

“Bagaimanapun, saya serta anak dan suami tidak mampu mengawal api berkenaan kerana sudah marak sebelum kami diarahkan suami untuk menyelamatkan diri dengan keluar menerusi tingkap rumah,” katanya.

Tipah yang juga tukang jahit sedih kerana bukan saja rumahnya hangus, tetapi semua pakaian yang ditempah pelanggannya turut musnah dalam kebakaran itu.

Katanya, dia juga buntu apabila gerai diusahakan berhampiran rumah turut terbakar.

“Selepas suami tidak dapat bekerja, itu saja punca rezeki kami sekeluarga. Kini semuanya sudah tiada lagi dan kami buntu memikirkan untuk kembali mencari rezeki,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Yaacob Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.38 malam sebelum bergegas ke tempat kejadian bersama enam anggota dan dua jentera.

myMetro
30 Nov 2010

0 comments:

Post a Comment