November 30, 2010

Penumpang van putus kaki

IPOH: “Saya terkejut daripada tidur kira-kira jam 4 pagi tadi (semalam) dan tiba-tiba berasa tidak sedap hati. Saya cuba melelapkan mata semula, tapi tak boleh.

“Saya teringatkan anak ketiga kerana ketika itu dia bekerja. Banyak kali saya cuba menghubunginya, tapi gagal menyebabkan perasaan semakin gelisah hingga dihubungi seorang pekerja yang menaiki van dipandu anak mengatakan mereka terbabit kemalangan,” kata Mohd Radzi Kot, 55.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5 pagi semalam, van pekerja kilang dipandu Mohd Hazizi, 25, terbabas sebelum melanggar besi penghadang Jambatan Kampung Kepayang dan hampir terjunam ke dalam Sungai Raia di Jalan Raja Nazrin Shah, dekat sini.

Kemalangan itu menyebabkan seorang penumpang wanita yang hanya dikenali Mariyana, 25, putus kaki kiri dan patah tangan kiri manakala Mohd Hazizi parah di kepala dan tangan kiri.

Enam penumpang lain cedera ringan dan tiga lagi menerima rawatan pesakit luar. Semua penumpang wanita berkenaan termasuk Mohd Hazizi dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), dekat sini, untuk rawatan kecemasan.

Ketika kejadian, van itu dalam perjalanan dari Teluk Intan menghantar 10 pekerja wanita ke sebuah kilang perabot di Klebang, di sini.

Mohd Radzi yang tinggal di Chenderong Balai, Teluk Intan berkata, dia bergegas ke tempat kejadian sebaik mendapat panggilan kira-kira jam 5.15 pagi.

“Sebaik tiba, badan saya lemah dan lutut menggeletar melihat keadaan van yang remuk teruk.

“Ketika itu semua mangsa sudah dikejarkan ke hospital termasuk penumpang yang menghubungi saya. Saya terbayangkan anak dan beberapa penumpang lain terbunuh. Namun, hanya Allah yang tahu betapa lega hati apabila dimaklumkan seorang anggota polis tiada nyawa terkorban.

“Kemalangan mungkin berpunca daripada kecuaian anak kerana berdasarkan keadaan van dan tempat kejadian, ia dipandu laju,” katanya yang turut bekerja sambilan sebagai pemandu van kilang berkenaan secara bergilir mengikut syif dengan anaknya.

Sementara itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Rodzi Mohd Rejab berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila van berkenaan hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh besi penghadang jambatan.

“Kemalangan itu mengakibatkan seorang penumpang wanita yang hanya dikenali Mariyana, 25, putus kaki kiri dan patah tangan kiri manakala pemandu van cedera parah di kepala dan tangan kiri.

“Enam penumpang lain cedera ringan dan tiga lagi hanya menerima rawatan pesakit luar.

myMetro
30 Nov 2010

0 comments:

Post a Comment